Jahid Turun Padang Lawat Daerah Telupid

TELUPID: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim membuat lawatan kerja ke Pejabat Daerah Telupid, hari ini.

Kehadiran Jahid disambut oleh Pegawai Daerah Telupid yang baharu, Celestine Jetony bersama kakitangannya serta ketua-ketua jabatan daerah tersebut.

Sepanjang lawatan itu, Jahid diberi taklimat mengenai profail daerah Telupid oleh Celestine, termasuk isu dan cabaran yang dihadapi di daerah tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya, Jahid mengucapkan tahniah kepada Celestine yang dinaikkan pangkat sebagai sebagai Pegawai Daerah Telupid yang baharu.

Katanya, gandingan kepimpinan peringkat daerah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid, Jonnybone Kurum dilihat sangat mantap, justeru itu, beliau berharap langkah ke arah memajukan daerah Telupid akan berjalan lancar.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, mengesyorkan agar segala permasalahan, isu serta cabaran daerah yang dilihat mendesak bagi keperluan daerah Telupid, dapat diutarakan oleh Jonnybone pada Persidangan DUN kelak.

Katanya, daerah Telupid juga berpotensi sebagai pusat pelancongan menarik, melihat kepada beberapa kawasan yang dilihat berupaya menjana ekonomi penduduk di daerah berkenaan.

Beliau berharap agar semua yang hadir terpelihara dan terhindar daripada wabak Pandemik Covid-19, dan menasihatkan kepada semua penduduk agar segera mendaftar dalam program Vaksinasi Covid-19 menerusi aplikasi My Sejahtera.

Untuk rekod, daerah Telupid yang dahulunya merupakan daerah kecil sejak 1977, telah diwartakan sebagai daerah penuh pada Januari 2014, mempunyai seramai 30,800 penduduk (mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia 2010).

Antara suku kaum yang terdapat di sini ialah Dusun/Kadazan, Dumpas, Sungai, Tidong, Bugis dan lain-lain.

Turut hadir Adun Lumadan, YB Ruslan Muharam, dan Setiausaha Rendah (Sosio Ekonomi) Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Norsafi Dukah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles