KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diberi mandat dan amanah oleh jutaan rakyat Sabah pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas perlu dipertahankan, kata Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sambil menyatakan sokongan kerjasama BN, PN dan PBS di Sabah untuk terus kekal, beliau berkata politik negeri ini sememangnya unik dan bersesuaian dengan kepentingan semasa.
“Kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai kemelut politik yang berlaku. Terbaru UMNO selepas berakhirnya Perhimpunan Agung telah memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Namun, senario politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan berkata fokus semua pemimpin politik kini seharusnya tertumpu kepada menjaga kebajikan rakyat selain memastikan pembangunan kawasan setempat masing-masing.
“GRS, walaupun masih belum didaftarkan, merupakan gabungan bersama yang diiktiraf rakyat sewaktu PRN yang lalu. Masing-masing perolehi kemenangan dengan lambang parti.
“Persoalan yang berbangkit, adakah mungkin selepas ini GRS boleh didaftarkan sebagaimana Gabungan Parti Sarawak (GPS)? Adakah mungkin di masa hadapan GRS akan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada PRN seterusnya? Ini merupakan persoalan menarik.
“Namun segala pilihan bergantung kepada kita semua yang berada dalam satu pasukan untuk sentiasa memenuhi kehendak rakyat,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata: “kunci kerjasama adalah semasa agihan kerusi-kerusi parlimen seterusnya”.
“Dan di situlah kerjasama ini dapat dilihat penghasilan dan keberkesanannya. Apa pun, sebagai salah seorang wakil rakyat, saya juga ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat politik yang lain untuk sama-sama kita terus berkhidmat tanpa menoleh ke belakang.
“Perkukuhkan khidmat, serta angkat pembangunan setempat selain penuhi kebajikan rakyat. Semoga politik di Sabah akan terus berkembang dan sihat demi pembangunan negeri di bawah bayu ini,” katanya.