KOTA KINABALU: Kejayaan kerajaan mengekang penularan Covid-19 di negara ini “terlalu banyak disumbangkan” oleh pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pengisytiharan darurat tersebut telah membolehkan kerajaan mengambil tindakan yang pantas dan cepat dengan prosedur yang lebih mudah dan berkesan.
Beliau berharap segala peraturan atau SOP yang dibuat dengan penalti yang lebih tinggi dalam tempoh darurat dapat memantapkan lagi keberkesanan usaha menangani pandemik Covid-19.
Katanya ini sekaligus memberi pengajaran dan kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya kesepakatan dalam mengekang penularan Covid-19.
Takiyuddin berkata demikian selepas meninjau dan menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Imigresen Sabah mengenai isu Covid-19 di kalangan pendatang tanpa izin (PTI) di Pusat Tahanan Sementara di Menggatal, Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada program Jawatankuasa Pengurusan Darurat Covid-19 Kebangsaan.
Katanya melalui program itu, beliau dan Ketua Setiausaha Negara turun padang dan bertemu Ketua Menteri, Menteri Besar dan pemimpin negeri di seluruh negara bagi mendengar dan melihat sendiri keperluan-keperluan atau juga apa-apa yang perlu penambahbaikan.
Mengenai isu PTI di Sabah, Takiyuddin berkata PTI merupakan isu tersendiri yang memerlukan cara penyelesaian tersendiri termasuk hubungan antara negara ini dan negara jiran.
Menurutnya perkara itu perlu dibincangkan bagi mencari jalan terbaik terutama isu yang melibatkan pengusiran.