KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah pilihan mereka dan tiada apa yang boleh dilakukan oleh BERSATU untuk membimbing keputusan itu.
Beliau berkata keputusan itu juga adalah hak politik UMNO untuk menentukan halatuju politik mereka dalam menghadapi PRU Ke-15.
“Bagi BERSATU, usaha untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan menangani pandemik Covid-19 akan terus menjadi keutamaan demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Kuala Lumpur semalam menyatakan keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU akan datang adalah muktamad.
Ronald berkata Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) pada September tahun lalu telah membuktikan bahawa rakyat kini matang untuk menilai gabungan parti yang mampu menjanjikan new deal atau tawaran baharu bagi mereka.
Jelas beliau, di Sabah, kekuatan tradisi melalui kerusi-kerusi tradisi bukan satu- satunya faktor pertimbangan bagi rakyat untuk menilai gabungan parti yang akan diangkat sebagai kerajaan.
“Toleransi politik yang berlaku dikalangan parti-parti dalam Gabungan Raktar Sabah (GRS) hingga berjaya menumpaskan Parti WARISAN boleh dijadikan ikhtibar oleh semua.
“Nyatanya musuh politik UMNO bukan BERSATU tetapi Pakatan Harapan. Peliknya BERSATU dijadikan ‘punching bag’ UMNO dalam PAU 2020,” katanya.
Selaras dengan pendirian BERSATU dalam kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin rakyat, Ronald menyarankan ahli BERSATU untuk terus bekerja keras dan merasai denyut nadi rakyat dengan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin khususnya memastikan setiap program kerajaan antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihtain Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dimanfaatkan oleh rakyat.
“Rakyat kini bosan dengan politik dan mahukan kerajaan membantu mereka ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya sambil menegaskan bahawa usaha menjatuhkan kerajaan PN ketika ini sudah tentu bukan keutamaan rakyat.
Ronald berkata kesiap-siagaan ahli dan jentera BERSATU untuk PRU Ke-15 akan terus ditingkatkan menerusi pelbagai program telah dan akan dilaksanakan.
Justeru, katanya, BERSATU yakin rakyat sentiasa bijak dalam menentukan hak politik mereka.