RANAU: Kerajaan akan membuka empat lagi Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau Pusat Produk IKS pada tahun ini, bagi membantu mempromosi serta menjual produk keluaran tempatan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata empat Pusat Produk IKS itu akan dibuka di Tawau, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran manakala satu lagi pusat yang sama di Papar kini sedang dibangunkan dan dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat ini.
“Pembukaan empat Pusat Produk IKS ini adalah antara dua inisiatif yang diambil kerajaan bagi membantu usahawan IKS mempromosi dan menjual barangan keluaran mereka.
“Dalam Belanjawan 2022, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan bagi menubuhkan empat (4) lagi Pusat Produk IKS pada tahun ini.
“Saya berharap pembukaan lebih banyak Pusat Produk IKS ini akan membantu menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah sekali gus memberi impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan,” katanya ketika merasmikan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah di Kiaburi Plaza, di sini pada Khamis.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan/Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Safar bin Untong dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin.
Buat masa ini, tiga Pusat Produk IKS sudah beroperasi iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu dan di Beaufort serta terbaharu di daerah ini.
Mengulas lanjut Hajiji berkata, satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pemasaran Produk IKS Sabah di pasaraya tempatan di negeri ini, yang mana DIDR bekerjasama dengan Pasaraya Bataras memasarkan produk keluaran Sabah ke seluruh cawangan pasar raya berkenaan.
“Selain di Bataras, produk IKS juga dipasarkan di seluruh Kedai Mesra di Sabah dan Labuan dengan berkolaborasi bersama PETRONAS Dagangan Bhd, khususnya produk makanan. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu usahawan IKS yang terjejas akibat pandemik COVID- 19,” katanya.
Beliau berkata, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini adalah salah satu inisiatif yang disenaraikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya bagi tahun 2021.
“Syabas saya ucapkan kepada MID dan agensi di bawahnya kerana telah berjaya melaksanakan satu lagi inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya pada tahun 2021 dengan jayanya,” katanya.
Hajiji berkata penganjuran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini tepat pada masanya bagi membantu merancakkan semula ekonomi domestik dan membantu usahawan IKS mempromosikan barangan buatan tempatan Sabah.
“Saya berharap kempen ini menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap usahawan dan peniaga di Sabah tidak hanya memfokuskan perniagaan mereka dalam pasaran tempatan sahaja, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform e-dagang yang kini menjadi pilihan ramai.
“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital secara meluas. Saya yakin barangan buatan Sabah mempunyai potensi dan kualiti untuk bersaing dengan produk dari luar negara,” katanya sambil berharap 12 syarikat dari Sabah yang menyertai World Dubai Expo 2020 pada Disember lalu, dapat menyebarluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.
4 Pusat Produk IKS bakal dibuka tahun ini, bantu jayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah
Advertisements