KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan tiga langkah asas perubahan kepada politik moden yang wajar diberi penekanan.
Beliau berkata tiga elemen penting itu ialah didik, bimbing dan pimpin.
“Politik perlu berubah mengikut kesesuaian masa. Para pengundi memerlukan perubahan kepada jenis politik yang sesuai untuk rakyat sekarang,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata elemen didik berkisar kepada usaha mendidik peribadi diri, nilai dan motivasi khususnya para pengundi.
“Dalam hal ini, komunikasi dan ketelusan kita mempengaruhi tanggapan orang awam,” katanya.
Beliau berkata bimbing pula bermaksud membimbing pengundi mengenai pelan jangka pendek atau panjang yang ingin dilaksanakan.
“Pokoknya, beri hujahan dan keyakinan mengapa pengundi harus memilih kita,” kata beliau.
Salleh berkata elemen pimpin penting bagi membantu usaha memimpin komuniti pada setiap masa.
“Seseorang pemimpin tidak menunggu dipilih, dia akan memimpin walau apapun terjadi. Ini kerana kepimpinan itu amanah untuk berkhidmat,” katanya.
Salleh yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata Barisan Nasional (BN) sudah banyak menerapkan dan memperlihatkan gaya politik moden terutama dalam kempen pilihan raya negeri Melaka.
“Saya yakin BN akan terus teguh dan dapat menjamin masa depan Malaysia yang makmur,” katanya.