JPKK, JKDB DUN Sindumin perlu siapkan profail kampung – Sani Miasin

SIPITANG: Pemimpin akar umbi khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin diingatkan agar menyiapkan profail kampung masing-masing.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin, Encik Sani Miasin berkata profail yang lengkap untuk sesebuah kampung amat penting bagi memudahkan JPKK mentadbir urus kampung masing-masing dengan berkesan.

Katanya, profail kampung bukan sahaja mempunyai data mengenai jumlah penduduk, jumlah dan jenis rumah, maklumat komuniti, ketua isi rumah, fasiliti Kerajaan, kemudahan asas yang ada, punca pendapatan penduduk kampung dan lain-lain.

“JPKK dan JKDB juga perlu membuat bancian status vaksinasi Di setiap lokaliti (kampung) yang merangkumu penduduk yang layak untuk vaksinasi (umur 12 tahun ke atas) dan lain-lain”, katanya.

Beliau berkata demikian pada siri jelajah akhir Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) ke mukim-mukim dalam kawasan DUN Sindumin di Kampung Tanjung Pagar, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Daerah (KD) Sipitang, OKK Daud Haji Kassim, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sindumin, Encik William Kapong, Pengerusi dan Setiausaha JPKK dari dan kakitangan UPPM Sindumin.

Sani berkata, data vaksinasi kampung amat penting bagi memudahkan pihak berkuasa mengenalpasti jumlah penduduk kampung yang belum divaksinasi.

Katanya, JPKK dan JKDB bersama biro-bironya juga perlu bersama-sama pihak berkuasa menangani masalah penyalahgunaan dadah yang berlaku di kampung masing-masing.

Menurutnya, JPKK dan JKDB perlu melaporkan kes penyalahgunaan dadah kepada pihak polis agar tindakan susulan dapat diambil bagi menangani masalah najis dadah di kampung-kampung.

Sani berkata, masalah penyalahgunaan dadah di kawasan DUN Sindumin dan Sipitang semakin ketara apabila pihak polis berjaya membuat beberapa tangkapan yang melibatkan penduduk setempat.

“Bagi mengelak masalah itu bertambah serius, pemimpin akar umbi bersama-sama masyarakat kampung perlu pro-aktif menangani masalah penyalahgunaan dadah”, tegasnya.

Beliau juga meminta JPKK dan JKDB serta Ketua-Ketua Kampung sentiasa turun padang bagi meninjau masalah yang dihadapi oleh rakyat selaras dengan amanah oleh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles