KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) prihatin terhadap isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja dan racun makhluk perosak yang berlaku semenjak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkatq Kedua-dua input pertanian itu merupakan komponen penting dalam pengeluaran hasil tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan oleh penduduk Malaysia.
“Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah yang diimport daripada negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium).
“Dalam hal ini, MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun sebagai usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian serta langkah-langkah lain dalam membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak,” katanya.
Ronald berkata demikian ketika menjawab soalqn Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris (Jerantut ) yang ingin tahu langkah-langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan bagi menangani isu ini yang jelas menjejaskan pendapatan para petani.
Ronald berkata pada 10 November 2021, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama telah diadakan yang melibatkan pihak berkepentingan termasuk wakil Kementerian dan agensi serta pemain-pemain industri seperti the Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA).
“Berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan, antara punca yang telah dikenalpasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran,” katanya.