BELURAN: Kementerian Kerja Raya Sabah menganggarkan RM15 juta peruntukan diperlukan bagi membaikpulih kerosakan jalan akibat tanah runtuh di kilometer 127.7, Jalan Paitan – Kanibungan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah I Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata jalan raya itu akan dibaikpulih bagi menyambung semula jalan berkenaan yang runtuh sehingga menyebabkan jalan terputus dan kuarters Loji Rawatan Air Paitan turut juga runtuh.
“Peruntukan dianggarkan RM15 juta tetapi mungkin kurang atau lebih dari jumlah dianggarkan itu.
“Kita akan meminta laporan dari pakar-pakar yang kita libatkan dalam pembinaan semula jalan ini,” katanya selepas melawat jalan raya berkenaan pada Selasa.
Bung Moktar berkata pakar-pakar tersebut akan terlibat dalam menentukan bajet kerana ia memerlukan banyak kerja teknikal.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah telah mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Paitan untuk mengadakan menyuarat khas dan memanggil semua agensi berkaitan bagi menjalankan kajian jalan raya putus.
Bung Moktar juga mahu Jabatan Geologi Sabah, Jabatan Pengaliran Dan Saliran Sabah dan Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dilibatkan dalam mesyuarat khas itu bagi mencari jalan penyelesaian masakah itu.
“Saya mahu masalah ini dapat diselesaikan dalam empat atau lima bulan ini,” katanya.
Menurutnya, beliau telah diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air mengenai kejadian berkenaan.
“Ini (jalan terputus) telah menimbulkan masalah dengan menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya.
Bung Moktar berkata apabila jalan raya itu putus, sudah tentu pengusaha sawit tidak dapat menghantar hasil sawit mereka ke kilang-kilang.
Turut hadir Menteri Pelancongan Dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Sabah yang juga ADUN Sugut Datuk James Ratib.