KOTA KINABALU: SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd melabur sekitar RM4.2 bilion bagi mendirikan kilang pembuatan kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pelancaran majlis pecah tanah untuk tujuan itu dijangka dilaksanakan pada Ogos depan dan siap dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata sekiranya semua berjalan lancar, operasi syarikat berkenaan dijangka bermula pada tahun 2023.
Dr Joachim berkata apabila beroperasi sepenuhnya, kilang berkenaan dijangka mewujudkan 400 peluang pekerjaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Perjanjian Pajakan Tanah untuk pembukaan kilang pembuatan kerajang tembaga di kawasan tanah seluas 100 ekar di KKIP.
Dokumen tersebut ditandatangani antara Menteri Pembangunan Industri Datuk Dr Joachim yang juga Pengerusi K.K.I.P Sdn Bhd, dan Shin Dong Hwan, Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan KKIP Sdn Bhd, Sepanggar hari ini.
Turut hadir bagi menyaksikan majlis itu ialah Setiausaha Tetap MID, Thomas Logijin, dan Han Saegyu dari SK Nexilis.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Joachim menyambut baik penandatanganan Perjanjian Sewa Pajakan tanah itu dan menyifatkan sebagai peristiwa penting terutama bagi Kerajaan Negeri Sabah.
“Bagi pihak kerajaan Sabah, kami mengalu-alukan SK Nexilis dengan pelaburan bernilai RM4.2 bilion di Sabah, yang akan mewujudkan 400 pekerjaan untuk orang di Negeri ini,” katanya.
Beliau berkata KKIP telah lama diwujudkan namun pelaburan kali ini merupakan yang terbesar setakat ini.
Dr Joachim berharap lebih banyak syarikat swasta yang akan melabur di KKIP pada masa akan datang.