PAPPINDO rayu Malaysia-Indonesia bantu 300,000 PMI tanpa dokumen di Sabah 

KOTA KINABALU: Perkumpulan Pengusaha Penempatan Pekerja Indonesia (Pappindo) merayu kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Pemerintah Indonesia bagi membantu ratusan ribu Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Sabah yang tidak memiliki dokumen sah.

Menurut data yang dikemukakan Pappindo pada Mac 2026, jumlah PMI yang memerlukan bantuan di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung dianggarkan melebihi 700,000 orang. Daripada jumlah itu, kira-kira 300,000 berada di Sabah.

Ketua Umum Pappindo Faizal Nawawi berkata, pihaknya merasa terpanggil untuk mengurus dan membantu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PMI yang terlantar dan tidak mempunyai dokumen sah di Malaysia, khususnya di Sabah.

“Pappindo berasa prihatin dengan PMI Indonesia kerana mereka memerlukan perlindungan kemanusiaan supaya hidup mereka lebih layak seperti manusia lainnya,” kata wakil Pappindo itu di sini.

Menurutnya, antara dokumen yang tidak dimiliki oleh kebanyakan PMI adalah pasport, Kad Tanda Penduduk (KTP), kad keluarga dan sijil lahir. Tanpa dokumen ini mereka sukar mendapat perlindungan dan pekerjaan yang sah manakala kehidupan mereka akan sentiasa dihantui kerana risau ditangkap.

Sehubungan itu katanya, Pappindo memohon kepada Kerajaan Malaysia dan pejabat Negara Indonesia agar pihaknya diberi fasiliti dan surat sokongan untuk membantu warga negara Indonesia di Malaysia.

Pappindo kini bekerjasama dengan Persatuan Majikan Buruh Asing Malaysia (Pemaba) yang berpusat di Kuala Lumpur untuk sama-sama mencari dan membantu pekerja migran yang tidak memiliki dokumen ini.

“Kami mempunyai matlamat yang sama. Pemaba dan Pappindo sedang menunggu surat sokongan daripada kedua-dua negara supaya segala usaha bantuan yang dilakukan tidak melanggar hukum dan peraturan kedua-dua negara.

“Kalau sudah mendapat surat sokongan dari Kerajaan Sabah, ia akan memudahkan kami melawat majikan untuk mengambil data PMI yang tidak punya dokumen. Surat itu akan memberi kuasa kepada kami untuk mengambil data pekerja di sini,” katanya.

Pappindo turut berharap, dengan surat itu para majikan PMI di Malaysia dapat membantu mendokumentasikan pekerja mereka sekali gus mengenal pasti identiti mereka. Data ini akan membantu kedua-dua negara menyelesaikan isu pekerja asing di mana di Sabah, masalah ini sudah lama berlanjutan.

Faizal berkata, usaha dokumentasi itu meliputi urusan ke imigresen untuk pembuatan pasport, KTP, KK dan sijil lahir. Jika sudah lengkap, mereka akan menjadi pekerja sah mengikut undang-undang.

Pappindo menegaskan, matlamat utama perjuangan ini adalah kemanusiaan.

“Pappindo akan memperjuangkan nasib warga Indonesia yang terlantar kerana tidak memiliki dokumen yang sah. Bila didukung kedua-dua negara kami pasti ia akan berhasil dan terlaksana,” katanya.

Sementara itu Jabatan Imigresen Sabah menyarankan pihak majikan di negeri ini menyertai program pendataan digital warga asing menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS). Inisiatif ini dibuat bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing di negeri ini.

Sistem ini sekali gus membantu mengekang isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PTI) dan masalah dokumentasi pelbagai dokumen di Sabah. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PTI.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles