Bekas ahli parti KDM beralih arah sertai PGRS

KOTA MARUDU: Seramai 158 bekas ahli Parti KDM di Matunggong secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menerusi penubuhan tiga cawangan baharu di Kg Terongkongan Darat, Kg Minyak dan Kg Tinutudan.

Majlis penerimaan keahlian dan penubuhan cawangan itu diadakan di Kampung Terongkongan Darat, pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 50 orang dari Kg Terongkongan Darat, 52 orang dari Kg Minyak dan 56 orang dari Kg Tinutudan.

Kg Terongkongan Darat dan Kg Minyak terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Terongkongan, manakala Kg Tinutudan di bawah PDM Lajong.

Kemasukan mereka diterima oleh Ketua Bahagian PGRS Kota Marudu, Sarapin Magana, sekali gus menandakan sokongan yang semakin kukuh terhadap parti itu di peringkat akar umbi.

Dalam ucapannya, Sarapin mengalu-alukan kemasukan mereka dan menyifatkannya sebagai petanda jelas bahawa rakyat semakin yakin terhadap kepimpinan Ketua Menteri serta kerajaan GRS.

“Kemasukan ahli daripada tiga cawangan ini membuktikan rakyat melihat sendiri usaha dan komitmen kerajaan GRS dalam membawa pembangunan serta bantuan kepada mereka.

“Kami bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan, dan kami berjanji akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, calon GRS tewas tipis dengan majoriti tujuh undi di PDM Terongkongan dan hanya satu undi di PDM Lajong.

Sarapin berkata, kemasukan ahli baharu itu dijangka dapat membantu GRS memenangi kedua-dua PDM berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, seorang bekas ahli Parti KDM yang menyertai PGRS berkata, keputusan mereka dibuat kerana yakin kerajaan GRS mampu membawa pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Mereka turut mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Parti KDM yang didakwa hanya pandai bercakap tetapi tidak membawa perubahan yang nyata kepada masyarakat setempat.

Menurut mereka, rakyat kini lebih mengutamakan tindakan dan hasil yang dapat dilihat, bukannya sekadar janji.

Dalam pada itu, Sarapin berkata, PGRS Kota Marudu kini berada dalam fasa penstrukturan cawangan susulan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tahun ini.

Katanya, proses itu bertujuan memperkukuh jentera parti di semua peringkat supaya lebih tersusun dan berkesan dalam menyantuni rakyat.

Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai ahli pembangkang di Kota Marudu menyokong GRS demi membawa perubahan dan pembangunan di kawasan ini.

“Kita yakin GRS dapat menawan Parlimen Kota Marudu pada PRU akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Daerah Matunggong, OKK Somuil Mojiun; Ketua Kampung Kg Terongkongan Darat dan Kg Minyak; Naib Ketua Bahagian, Mohamad Isahak Awang; Naib Ketua Pergerakan Wanita Bahagian merangkap EXCO Pergerakan Wanita PGRS Pusat, Dr Davina Datuk Markus; Naib Ketua Pemuda Bahagian, Clement Sarapin; Setiausaha Bahagian, Lagason Gampong; Bendahari Bahagian, Rico Ongikal; AJK Bahagian Dr Jurin Gunsalam, Singan Lingkubang, Masikong Maluk, Ijap Yakim, Jimin Masaya, Marius Donsilin dan  Raimun Mangantal.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles