KOTA KINABALU: Kira-kira 130 kakitangan Cements Industries (Sabah) Sdn. Bhd. telah mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Pengerusi Cements Industries (Sabah) Sdn Bhd, Datuk Japlin Akim berkata program itu bertujuan memastikan seluruh kakitangan mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19.
“Kita berharap program ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses suntikan vaksin dalam kalangan warga Cements Industries sekali gus membolehkan syarikat beroperasi seperti biasa.
“Malah suntikan ini diharap dapat memberi pelindungan daripada jangkitan bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga ahli keluarga yang lain,” katanya.
Japlin berkata demikian semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
PIKAS merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bermatlamatkan mempercepatkan kadar vaksinasi negara dengan sasaran sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.
Di Sabah, PIKAS yang bermula pada Sabtu lalu menyasarkan 18,000 pekerja daripada 407 kilang pembuatan yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri, termasuk pekerja dalam sektor pembuatan di Kota Kinabalu dan daerah berdekatan — Putatan, Penampang, Papar dan Tuaran.
Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma. Pihak swasta pula akan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta dan kos pengurusan PPV yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta bagi menjimatkan peruntukan kerajaan.
Terdapat dua jenis PPV dibawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah melibatkan pemberian vaksin di premis kilang.
Melalui program ini majikan perlu menanggung sepenuhnya kos vaksinasi pekerja dan mereka tidak dibenarkan memotong gaji pekerja.
Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat dan mendaftar dalam talian melalui www.miti.gov.my.
Japlin dalam pada itu turut memuji usaha MITI Sabah yang mempercepatkan proses PIKAS ke negeri ini dan yakin imuniti kelompok dalam sektor pembuatan dapat dicapai, sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri serta negara.