NIZAM BANGKIT ISU BEKALAN AIR TAWAU DALAM MESYUARAT KABINET SABAH

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan membangkitkan isu gangguan bekalan air di Tawau dalam Mesyuarat Kabinet Negeri bagi memastikan tindakan segera diambil untuk membantu penduduk terjejas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, masalah bekalan air akibat cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan itu perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keperluan harian penduduk.

Katanya, isu berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu lalu, susulan keadaan sumber air mentah yang semakin terjejas sehingga mengganggu operasi rawatan dan pengagihan bekalan air kepada pengguna.

“Saya telah membangkitkan masalah ini dalam Mesyuarat Kabinet kerana memahami kesulitan yang dihadapi penduduk Tawau, khususnya mereka yang masih berdepan gangguan bekalan air.

“Susulan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nizam berkata, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan Pengarah JANS memantau keadaan semasa serta menggerakkan segala keupayaan yang tersedia bagi membantu penduduk.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah dari Sungai Tawau.

Katanya, walaupun hujan telah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai secara ketara bagi membolehkan operasi rawatan air kembali pulih sepenuhnya.

“Pemantauan terhadap keadaan sumber air mentah dan proses rawatan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

“Dalam keadaan sekarang, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki merupakan langkah mitigasi segera bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, Nizam berkata, penghantaran bantuan air akan diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa, dengan penyelarasan yang lebih teratur bagi memastikan kawasan terjejas mendapat perhatian.

Beliau menegaskan, masalah bekalan air tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan keperluan asas rakyat, selain memberi kesan kepada urusan harian isi rumah.

“Saya akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan bekalan air serta memastikan keperluan penduduk yang terjejas terus diberi perhatian.

“Keutamaan ketika ini adalah membantu meringankan beban penduduk sementara menunggu keadaan sumber air mentah dan operasi loji rawatan kembali pulih,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles