KUALA LUMPUR: Sabah Electricity Sdn.Bhd. (Sabah Electricity) terus memberikan fokus kepada kepentingan pembangunan bakat, penguasaan ilmu profesional dan pengalaman praktikal dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengurus projek kompleks serta memenuhi keperluan industri tenaga yang semakin dinamik.
Usaha itu telah mencatat pencapaian membanggakan apabila Sabah Electricity meraih enam pengiktirafan dalam IGNITE 2026 Project Management Awards yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan keupayaan serta kepakaran warga kerjanya dalam menerajui projek strategik dan inovasi industri tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir.Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata pencapaian itu menyerlahkan bukan sahaja kecemerlangan pelaksanaan projek, malah keupayaan modal insan syarikat dalam mengaplikasikan kepakaran teknikal, pendigitalan dan kepimpinan projek bagi menghasilkan nilai kepada organisasi serta pelanggan.
Lebih membanggakan, dua daripada pengiktirafan utama melibatkan individu yang berjaya menonjolkan kompetensi dan kepimpinan dalam pengurusan projek, iaitu Ir. Dayang Sitti Noradzlin Binti Yunos yang memenangi kategori Best Project Manager (Non PMIMY Member), manakala Ir. Ts. Suadi Bin Wahab, PMP menerima Honourable Mention bagi kategori Best Project Manager (PMIMY Member).
Sabah Electricity turut memenangi kategori Outstanding Project (Construction / Infrastructure)menerusi Projek Capacitor Bank 132kV di PMU Tawau dan kategori Best Digital & AI menerusi Major Project Division Digitalization Project.
Projek PPU Benoni 33/11kV, Papar, Sabah pula menerima Honourable Mention dalam kategori Engineering & Technology.
Syarikat turut berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir kategori Best Project of the Year (Excellence Award).
“Pencapaian ini memperlihatkan bagaimana gabungan kepakaran kejuruteraan, keupayaan digital dan kepimpinan projek memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan nilai tambah kepada operasi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selaras dengan tema IGNITE 2026, Project Manager as Orchestrator: The Guardian of Project Value, kejayaan pengurusan projek bukan sekadar diukur berdasarkan tempoh pelaksanaan dan kos, tetapi turut mengambil kira nilai, impak dan manfaat jangka panjang yang dihasilkan.
Mohd Yaakob menambah bahawa pengiktirafan ini turut mengukuhkan kepentingan modal insan sebagai aset strategik organisasi selaras dengan usaha syarikat memberikan tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu, pengukuhan kepimpinan dan penerapan budaya inovasi yang merupakan elemen penting dalam membina pasukan yang berupaya mendepani cabaran teknologi serta keperluan sistem bekalan elektrik yang semakin kompleks.
Menurut beliau, Sabah Electricity juga telah diberikan pengiktirafan pada 2025 apabila projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu meraih tiga pengiktirafan menerusi Project Management Awards 2025.
Pengiktirafan tersebut merangkumi Best Project Manager, Green Initiative Winner dan Best Project of the Year – Excellent Award, sekali gus mencerminkan kecemerlangan dalam pengurusan projek, penerapan inisiatif hijau serta pembangunan infrastruktur tenaga.
Sabah Electricity akan terus memperkukuh keupayaan dan profesionalisme warga kerjanya agar kepakaran yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang lebih cekap, inovatif dan mampan.
“Usaha ini juga penting bagi menyokong peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta mutu perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.