KOTA KINABALU: Selepas bersiaran sedekad yang lepas, Stesen radio KUPIKUPI FM berkembang dengan begitu pesat.
Dan kini KUPIKUPI FM bakal melakar sejarah sebagai stesen radio komuniti swasta pertama dari Borneo yang melebarkan sayap se Semenanjung Malaysia.
Langkah bersejarah itu membawa muzik, budaya dan kisah Borneo kepada khalayak yang lebih luas di Malaysia menerusi frekuensi 106.0 FM
Ini bermakna KUPIKUPI FM kini melebarkan jangkauan penyiaran radio FM terestrialnya ke Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadi stesen radio milik swasta pertama dari Borneo yang mengambil langkah tersebut.
Menerusi frekuensi 106.0 FM, KUPIKUPI FM kini dapat didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan (termasuk Seremban) dan Selangor (termasuk Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang), serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Perkembangan itu memperluaskan jangkauan penyiaran stesen tersebut melangkaui pangkalan utamanya di Malaysia Timur.
Pengembangan tersebut menandakan satu bab penting dalam perjalanan KUPIKUPI FM, dengan menyediakan platform baharu bagi masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia untuk terus berhubung dengan kampung halaman.
Pada masa yang sama, ia membuka peluang kepada masyarakat di Malaysia Barat untuk mengenali muzik, budaya, warisan dan kisah-kisah dari Borneo dengan lebih dekat.
Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol, menyifatkan langkah itu sebagai satu detik yang membanggakan bagi syarikat dan industri penyiaran Borneo.
“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.
“Pada masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat.
“Kami bukan datang untuk bersaing sehingga mendominasi sesiapa. Kami hadir untuk turut serta, berkongsi budaya, muzik dan cerita kami, serta menyumbang kepada landskap penyiaran Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian. Kami berharap ini merupakan permulaan kepada sesuatu yang bermakna, bukan sahaja untuk masyarakat Borneo di Semenanjung Malaysia, tetapi juga untuk dinikmati oleh semua,” katanya.
Dilancarkan pada Januari 2016, KUPIKUPI FM SABAH ditubuhkan sebagai sebuah stesen radio komuniti yang komited untuk berkhidmat kepada masyarakat Sabah, mempromosikan bakat tempatan dan menyediakan platform kepada suara anak tempatan.
Bersiaran menerusi frekuensi 96.3 FM, stesen ini meliputi beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan beberapa lokasi berdekatan.
Selain penyiaran, khidmat kepada masyarakat turut menjadi antara teras utama operasi stesen ini.
Sepanjang operasinya, KUPIKUPI FM telah melaksanakan lebih daripada 30 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah, yang kebanyakannya memberi tumpuan kepada usaha memulihkan bekalan air untuk komuniti luar bandar.
Melalui inisiatif Operasi Kerja Komuniti dengan kerjasama bersama rakan rakan strategiknya, stesen ini telah menyumbang kepada usaha meningkatkan akses kepada bekalan air serta membantu komuniti yang memerlukan.
KUPIKUPI FM turut mengembangkan operasinya ke bidang hiburan berskala besar dengan menganjurkan lima konsert utama dan sebuah festival yang menampilkan artis antarabangsa serta tempatan.
Penganjuran itu turut membuka peluang kepada penggiat seni tempatan untuk berkongsi pentas dengan artis terkenal, antaranya Repvblik, D’Masiv dan Kotak dari Indonesia.
Perkembangan stesen ini diteruskan dengan pelancaran KUPIKUPI FM SARAWAK pada 9 Jun 2023. Bersiaran menerusi frekuensi 92.5 FM di Kuching, stesen ini menghimpunkan bakat muda Sarawak melalui muzik, penceritaan dan program berteraskan komuniti, dengan matlamat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan.
Kumpulan itu kemudiannya mengembangkan operasinya ke bidang kewartawanan digital menerusi INFO X, sebuah portal berita dalam talian pertama di Sabah yang memfokuskan berita khusus mengenai Sabah.
Platform ini memberi tumpuan kepada penyampaian berita yang pantas, relevan dan dekat dengan realiti masyarakat, khususnya bagi khalayak di Sabah.
Kesemua platform ini merupakan sebahagian daripada perniagaan media bersepadu OOGA X Sdn Bhd yang merangkumi perkhidmatan dalam talian, luar talian, aktiviti lapangan dan penyiaran radio.
Menurut Lester Miol, keupayaan syarikat bukan sahaja tertumpu kepada penyiaran radio, malah turut meletakkan OOGA X sebagai rakan strategik berpotensi bagi perniagaan yang ingin memasuki atau memperkukuh kehadiran mereka di Sabah dan Sarawak.
“Kami mahu bakal pelanggan melihat kami sebagai penghubung dan jambatan kepada pasaran Borneo. Peranan kami melangkaui siaran radio. Kami juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan acara, promosi lapangan, aktivasi pemasaran dan penglibatan komuniti.
“Kami berhasrat menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada perniagaan yang ingin meluaskan jangkauan, meningkatkan kesedaran jenama dan berhubung dengan pengguna di Sabah dan Sarawak. Kami memahami komuniti tempatan dan percaya bahawa penglibatan yang bermakna merupakan kunci untuk membina hubungan yang berkekalan,” katanya.
Dengan pengembangan ke Semenanjung Malaysia, KUPIKUPI FM berhasrat memperkukuh hubungan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, di samping memberikan pendedahan yang lebih luas kepada bakat kreatif, kepelbagaian budaya dan kisah komuniti Borneo.
Daripada permulaannya sebagai sebuah stesen radio komuniti di Sabah, berkembang ke Sarawak dan kini bertapak di Semenanjung Malaysia, perjalanan KUPIKUPI FM mencerminkan aspirasi organisasi itu untuk terus berkembang tanpa melupakan akar umbi serta komuniti yang menjadi tunjang perjuangannya.
Langkah ini bukan sahaja membuka lembaran baharu bagi KUPIKUPI FM, malah mewujudkan peluang yang lebih besar untuk suara, muzik dan kisah dari Borneo diketengahkan kepada khalayak Malaysia yang lebih luas.
Bagi KUPIKUPI FM, perjalanan ini bukan sekadar tentang memperluaskan kawasan liputan penyiaran.
Sebaliknya, ia adalah tentang mendekatkan Borneo dengan seluruh Malaysia, melalui setiap cerita, setiap lagu dan setiap hubungan yang terjalin.
