Wartawan main peranan penting sebagai jambatan penghubung kepada masyarakat – Victor

KENINGAU : Peranan dunia kewartawanan terbukti menjadikan segala info sampai kepada golongan sasaran selain menjadi wadah untuk menyalurkan apa saja maklumat yang diperlukan.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut berkata wartawan atau pengamal media ini sangat penting dalam masyarakat kerana mereka bukan sahaja memberikan info yang tidak diketahui malah mereka juga mampu menyampaikan berita soal pembangunan, jalan raya yang dibina, bangunan yang didirikan atau angka ekonomi yang telah dicapai oleh kerajaan, sesebuah organisasi dan sebagainya.

“Melalui media, pembangunan juga harus diukur melalui sejauh mana suara rakyat didengari, masalah mereka difahami dan harapan mereka diberikan perhatian.

Di sinilah wartawan memainkan peranan yang amat besar dimana kumpulan ini sering di lihat sebagai mata dan telinga kerajaan, dan pada masa yang sama, wartawan merupakan jambatan yang menghubungkan suara rakyat dengan pihak yang membuat keputusan.

Apabila rakyat berhadapan dengan kesukaran, wartawan membantu membawa perkara itu ke ruang perhatian umum.

Apabila masyarakat mempunyai cadangan, harapan dan keperluan, wartawan menyediakan landasan supaya suara tersebut dapat disampaikan dan apabila sesuatu dasar atau program dilaksanakan, wartawan membantu 

masyarakat memahami, menilai dan mengikuti perkembangannya.

“Inilah nilai sebenar kewartawanan.

Kerajaan memerlukan maklumat yang tepat untuk memahami keadaan sebenar di lapangan manakala rakyat pula memerlukan saluran yang terbuka untuk menyampaikan pandangan dan keperluan mereka,” ujar Victor.

Menurutnya, dalam keadaan dunia hari ini yang bergerak pantas, berita boleh tersebar dalam beberapa saat, 

tetapi kesannya boleh dirasai selama bertahun-tahun.

“Kerana itulah ketepatan mesti mengatasi kecepatan, fakta mesti mendahului andaian, dan integriti mesti sentiasa mengatasi kepentingan peribadi.

Kebebasan media dan tanggungjawab profesional perlu berjalan seiring,” tambahnya lagi.

Beliau turut berpendapat bahawa setiap kritikan yang berasaskan fakta bukanlah penghalang kepada pembangunan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi panduan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Wartawan yang berani menyampaikan kebenaran membantu masyarakat melihat dengan lebih jelas. 

Wartawan yang berintegriti membantu masyarakat membuat penilaian dengan lebih bijaksana dan wartawan yang bertanggungjawab membantu 

membina masa depan yang lebih baik.

Justeru, sebagai seseorang yang turut memikul amanah dalam sektor korporat dan tanggungjawab kemasyarakatan, saya percaya bahawa setiap organisasi, setiap pemimpin dan setiap individu memerlukan maklum balas yang jujur untuk terus maju.

Kita tidak boleh memperbaiki sesuatu masalah jika kita enggan mendengarnya. 

Kita tidak boleh membina kepercayaan jika kita menutup ruang komunikasi dan kita tidak boleh mencapai kemajuan yang bermakna jika suara masyarakat diketepikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Apresiasi Media Pedalaman Sabah 2026 di Keningau pada Sabtu.

Di majlis berkenaan, beliau menzahirkan ucapan kepada seluruh warga media di Keningau dan kawasan sekitarnya, ucapan syabas dan tahniah di atas komitmen, pengorbanan serta sumbangan kepada masyarakat.

“Semoga semangat profesionalisme, integriti dan keberanian saudara dan saudari terus menjadi inspirasi kepada generasi wartawan yang akan datang.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles