Sabah catat pertumbuhan 4.1 peratus ketibaan pelawat bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ketibaan pelawat ke Sabah bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Setakat Ogos 2026, Sabah telah merekodkan sebanyak 2.6 juta ketibaan pelawat, merangkumi 1.1 juta (43 peratus) pelawat antarabangsa dan 1.5 juta (57 peratus) pelawat domestik. 

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya pada majlis perasmian Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Menurutnya, China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama apabila merekodkan sebanyak 578,681 ketibaan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perkembangan ini disokong oleh pasaran Singapura, Australia dan Eropah, begitu juga Jepun yang turut merekodkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan, katanya.

Manakala, ketibaan dari Itali dan Sepanyol pada bulan Ogos mencerminkan daya tarikan Sabah yang semakin kukuh dalam kalangan pelancong Eropah, katanya.

“Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa Sabah mempunyai potensi yang besar untuk terus memperluas jangkauan ke pasaran antarabangsa, khususnya dengan sokongan rangkaian dan ketersambungan penerbangan yang lebih baik,” katanya.

Ketua Menteri berkata pasaran domestik yang mencatat peningkatan sebanyak 2.1 peratus terus menjadi tonggak penting kepada industri pelancongan negeri.

“Dapatan awal Lembaga Pelancongan Sabah juga menunjukkan bahawa minat terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan kekal kukuh,” katanya.

Namun, Hajiji berkata masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, khususnya berkaitan tambang penerbangan dan ketersediaan penerbangan, yang boleh mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke Sabah serta daya saing negeri ini berbanding destinasi lain di dalam negara dan rantau ini. 

“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensi besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau mengulangi keyakinan Sabah mampu mencapai sasaran empat juta ketibaan pada tahun ini.“Kita amat berbangga dengan pencapaian sektor pelancongan Sabah, yang kini telah mencecah kira-kira 64 peratus daripada sasaran empat juta pelawat bagi tahun 2026. 

“Pencapaian ini memberikan asas yang kukuh untuk kita terus meningkatkan momentum bagi tempoh berbaki tahun ini. 

Untuk mencapai sasaran tersebut, kita memerlukan tambahan sekitar 1.44 juta ketibaan bagi tempoh September hingga Disember tahun ini, atau purata kira-kira 361,000 pelawat sebulan. 

“Saya percaya sasaran ini mampu dicapai sekiranya momentum sedia ada dapat terus diperkukuh melalui promosi yang lebih berkesan, peningkatan ketersambungan penerbangan serta kerjasama erat antara Kerajaan, pemain industri dan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Mengenai program Malam Gala dan Ritma Kinabalu atau Rhythms Of Kinabalu 2026 yang kini memasuki edisi ke-12, beliau berkata ia adalah satu inisiatif yang baik dalam menyediakan platform dan peluang kepada penggiat seni budaya kumpulan muzik tradisional serta kontemporari mempersembahkan karya seni yang berkonsepkan Muzik Borneo.Hajiji berkata pelancongan kebudayaan merupakan antara tarikan utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah. 

“Kepelbagaian khazanah budaya, adat resam, seni dan makanan tradisional kita menawarkan pengalaman yang unik kepada para pengunjung. 

“Pada masa yang sama, sektor ini membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat serta membantu memelihara khazanah budaya untuk generasi akan datang.  

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles