TENOM: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf sistem pengairan di kawasan Poguokon-Lagud Seberang di sini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 penanam padi di kawasan berkenaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata projek berkenaan diperlukan berikutan masalah pemendapan serta kerosakan pam dan sistem pengairan yang menyebabkan bekalan air tidak mencukupi untuk mengairi kira-kira 300 hektar kawasan sawah.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Sumber Air Sabah berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah telah memohon peruntukan itu, yang diluluskan kerajaan negeri dan baru-baru ini ditender.
“Apabila dilaksanakan kelak, ia akan memberikan keselesaan kepada lebih 100 penanam padi di kawasan Poguokon, Manining, Lagud Seberang dan Pansailon serta kawasan sekitarnya,” katanya.
Jamawi berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia di Dewan Datuk Sanggau Jalang di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui JPS turut menaik taraf pam air di kawasan Makakumpai yang sebelum ini tidak dapat ditanam padi selama lebih 10 tahun akibat kerosakan pam dan sistem pengairan.
Katanya, kerja pembaikan dan pengubahsuaian akan diteruskan walaupun berlaku kerosakan termasuk kecurian wayar, bagi memastikan kemudahan pengairan dapat digunakan semula untuk membantu masyarakat kampung pada musim penanaman.
“Walaupun berlaku kerosakan dan kecurian wayar, ia tidak melunturkan semangat pegawai-pegawai saya. Kita akan terus mengubah suai dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan supaya musim penanaman ini dapat kita bantu masyarakat kampung,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga telah menyiapkan sebuah empangan bernilai kira-kira RM250,000 di Kalang bagi mengairi kawasan sawah padi di kawasan itu.
Di kawasan Melalap pula, katanya, tiga empangan air masing-masing bernilai RM200,000 telah diluluskan dan kini sedang dilaksanakan bagi membantu kira-kira 250 ekar kawasan sawah padi di Kampung Langsat, Kampung Kasiai dan Kampung Ulu Sumbiling.
Jamawi berkata komitmen kerajaan bersama JPS akan diteruskan bukan sahaja di Tenom tetapi juga di kawasan lain bagi memastikan kemudahan pengairan untuk petani dapat dipertingkatkan.
Beliau menggalakkan masyarakat tani menyalurkan lebih banyak maklumat mengenai keperluan pembaikan tali air supaya keutamaan dapat diberikan dalam perancangan pelaksanaan projek bagi tahun depan.
Kerajaan turut menyediakan RM7 juta untuk sistem kawalan saliran air di kawasan pekan serta RM2.5 juta bagi mencegah hakisan tanah di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kementeriannya akan menyelesaikan pengagihan jentera pembajak, jentera penanam dan jentera penuai kepada masyarakat pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) yang akan berlangsung di Tenom.
Beliau berkata HPPNS peringkat Negeri akan diadakan pada 23 hingga 25 Oktober di Padang Pekan Tenom dan Dewan Datuk Seri Panglima Antanom Tenom, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 24 Oktober, jam 10 pagi.
“Kita mengalu-alukan semua masyarakat, petani, penternak, nelayan, penoreh getah dan sesiapa sahaja yang berminat dengan industri pertanian untuk datang beramai-ramai.
“Walaupun tidak sama seperti MAHA, sekurang-kurangnya kita dapat menonjolkan kepelbagaian aktiviti petani, penternak, nelayan dan penoreh getah di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata pegawai kementerian juga akan berada di lokasi bagi memberi penerangan dan membantu orang ramai membuat pendaftaran berkaitan subsidi, bantuan serta peluang dalam industri pertanian.
Sementara itu, Jamawi berkata sambutan Hari Sungai Sedunia penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai kepentingan memelihara sumber air sungai.
Katanya, sungai bukan sahaja penting sebagai sumber makanan tetapi juga sebagai sumber air minuman, justeru kebersihan dan kualitinya perlu dijaga oleh masyarakat kampung serta komuniti yang tinggal di sekitarnya.
“Kebanyakan sumber air ini melalui empangan-empangan yang dilaksanakan JPS Sabah ataupun syarikat konsesi lain, tetapi semuanya berpandukan kepada aliran sungai dari hujung kampung dan banjaran yang kebanyakannya diduduki masyarakat kita.
“Kalau sumber ini tercemar, keseluruhan alirannya akan tercemar dan memberikan air yang kurang bersih untuk dinikmati seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata pemeliharaan sungai secara bersama penting bagi menjamin sumber air minuman yang lebih selamat dan terjamin untuk masyarakat di seluruh negeri.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
Datuk Ts. Haji Jifrin Haji Mohamad; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Ir. Haji Siraja Haji Bashora; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Polis Daerah Tenom, SUPT. Azmir Abd. Razak; Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakharia Jamal; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Densely Justin; serta wakil- wakil ketua jabatan dan agensi MAFFI.
Terdahulu, Jamawi menyempurnakan larian pelepasan (flag off) Wag & Wishkers Fun Run dan 1KM Walk With Pet sempena Jubili Emas DVS di Wisma Pertanian dan merasmikan Hari Keluarga Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), di Bukit Padang Kota Kinabalu.
