Program Mahkamah Bergerak bantu selesai isu dokumentasi telah berlarutan sekian lama – Mandela

Oleh: JT

PENAMPANG: Program Mahkamah Bergerak merupakan platform penting bagi membantu menyelesaikan isu dokumentasi penduduk yang telah berlarutan sekian lama, selain membawa perkhidmatan terus kepada rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah pendaftaran lewat surat beranak, perkahwinan campur antara orang tempatan dengan orang asing serta ketiadaan dokumen pendaftaran perkahwinan.

“Kelewatan membuat kad pengenalan diri dan pelbagai faktor lain turut menjadi antara punca isu dokumentasi berkenaan masih berlaku dalam kalangan penduduk,” katanya ketika merasmikan Program Mahkamah Bergerak di Dewan Pagansakan, Kampung Inobong di sini, pada Jumaat.

Mandela berkata, isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah berpotensi menjadi legasi masalah yang berpanjangan kepada anak-anak dan generasi seterusnya sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Katanya, ketiadaan dokumen yang sah menyebabkan ramai anak-anak kita berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses pendidikan yang sempurna, melanjutkan pelajaran, mendapatkan pekerjaan yang baik serta menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Justeru, katanya, Program Mahkamah Bergerak ini amat signifikan dalam membantu menyelesaikan isu dan kes dokumentasi yang telah berlarutan sekian lama.

“Program ini menjadi platform penting untuk membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dan memastikan setiap kes yang layak dapat diberikan perhatian serta diproses mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat dan ketua-ketua adat  seperti ketua daerah, ketua anak negeri, wakil ketua anak negeri, ketua kampung dan kapitan memainkan peranan penting dalam usaha menyelesaikan isu dokumentasi berkenaan.

“Mereka merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat dan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk setempat.

“Oleh itu, saya berharap para pemimpin masyarakat dan ketua-ketua adat akan terus memainkan peranan yang aktif dalam menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan lengkap kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama ini amat penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara adil, telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Semantara itu, Mandela berkata, naratif negatif yang memberi tanggapan bahawa Program Mahkamah Bergerak diwujudkan untuk membolehkan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapatkan dokumen pengenalan diri atau kad pengenalan dengan mudah tanpa melalui proses yang sah perlu ditepis.

Katanya, persepsi seumpamanya adalah tidak benar sama sekali. Setiap permohonan yang dikemukakan akan melalui proses semakan, penelitian dan pengesahan yang ketat oleh agensi-agensi yang berkaitan.

“Tiada kelulusan diberikan secara sewenang-wenangnya tanpa bukti, dokumen sokongan dan pengesahan yang mencukupi.

“Program ini bukan bertujuan melonggarkan syarat, sebaliknya membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang tulen dan layak mengikut peruntukan undang-undang negara,” 

Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, khabar angin atau maklumat yang tidak sahih, sebaliknya menyokong usaha kerajaan, mahkamah dan agensi berkaitan dalam memastikan isu dokumentasi rakyat dapat diselesaikan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles