Kiulu: Majlis Sambutan Perpisahan Staf Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru, Tuaran berlangsung dalam suasana penuh mesra, kenangan dan kejutan apabila tiga warga sekolah diraikan walaupun telah berkhidmat di tempat baharu.
Mereka ialah Cikgu Charles Majili, Cikgu Richard Kondingu dan Pembantu Tadbir, Encik Welfred Elohok.
Cikgu Charles, seorang guru sukan, meskipun tidak lama berkhidmat di sekolah berkenaan, telah meninggalkan sumbangan bermakna terhadap kemenjadian murid dalam sukan .
Encik Welfred pula dikenang atas 20 tahun khidmat bakti, khususnya dalam pengurusan pentadbiran dan kewangan sehingga audit kewangan sekolah mencapai tahap cemerlang setiap tahun.
Cikgu Richard turut meninggalkan legasi tersendiri melalui sumbangan dalam bidang kurikulum dan kemenjadian murid.
Hasil manuskrip beliau yang masih terpampang di laluan jalan kaki sekolah menjadi antara kenangan yang terus menghiasi persekitaran sekolah.
Menambah kemeriahan majlis, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Dalitah Madin, turut menerima kejutan sambutan hari jadi yang diselaraskan oleh Cikgu Dayang Mohaida Zuraidah dan Cikgu Ibrahim. Kejutan tersebut mencetuskan suasana ceria dan menjadi detik istimewa buat warga sekolah.
Guru Besar SK Malangang Baru, Tuan John Wayne Linggang, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua staf yang diraikan serta mendoakan agar kecemerlangan mereka terus terserlah di tempat baharu.
Beliau turut menghargai komitmen Cikgu Aliciana dan Cikgu Regina selaku penyelaras majlis serta Cikgu Rodymond sebagai pengacara yang berjaya menghidupkan suasana.
Majlis yang dihadiri Penolong-penolong Kanan, guru-guru dan AKP itu membuktikan bahawa setiap jasa yang dicurahkan meninggalkan jejak yang bermakna.
Pergi membawa amanah, tinggal meninggalkan kenangan — jasa dan bakti tetap terpahat di hati warga SK Malangang Baru.
