TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent telah menganjurkan Mini Karnival Bahasa Kadazandusun “Tadau Pogiruruumaan” yang melibatkan pensyarah, siswa guru Bahasa Kadazandusun serta murid sekolah.
Program itu dirasmikan oleh Dr. Norafidah binti Noralidin, Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan Bahasa Kadazandusun dalam pendidikan dan masyarakat.
Mini karnival BKD itu merupakan acara kemuncak hasil pelaksanaan Teaching School yang dilaksanakan oleh Jabatan Bahasa Kadazandusun yang bermula dari fasa 1 sehinggalah fasa 3.
Melalui Teaching School, siswa guru berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari bersama murid sekolah di situasi sebenar.
Pelaksanaan tersebut turut memberi ruang kepada siswa guru untuk menghasilkan serta menggunakan bahan pengajaran yang berkaitan dengan Bahasa Kadazandusun, kesusasteraan, teknologi dan kebudayaan dalam suasana pembelajaran yang lebih interaktif.
Hasil daripada pelaksanaan Teaching School tersebut kemudiannya dilaksanakan melalui Mini Karnival BKD “Tadau Pogiruruumaan”.
Program ini menjadi wadah untuk memperkenalkan, memartabatkan dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Kadazandusun di samping memupuk penghargaan terhadap warisan budaya masyarakat tempatan.
Program tersebut memberikan pengalaman kepada murid dan peserta untuk mengenali Bahasa Kadazandusun bukan sahaja melalui pembelajaran di dalam bilik darjah, malah menerusi bahan-bahan bahasa, kesusasteraan, teknologi dan kebudayaan yang dipamerkan.
Penglibatan murid sekolah memperlihatkan bahawa bahasa dan budaya tempatan boleh dipelajari dalam suasana yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah pameran dari Kelab Wikimedia Kent, Bahasa Kadazandusun yang memperkenalkan usaha pendokumentasian dan penyebaran ilmu berkaitan bahasa melalui platform digital.
Warga sekolah turut berpeluang melihat pelbagai koleksi buku, alat muzik tradisional, sampel buku cerita Bahasa Kadazandusun serta bahan-bahan berkaitan bahasa dan budaya yang dapat dijadikan sumber pembelajaran.
Penglibatan murid turut diserikan melalui Pertandingan Membaca Tahap 1 dan Pertandingan Sugandoi Tahap 2.
Penyertaan dalam pertandingan ini secara tidak langsung dapat membina keberanian murid untuk menggunakan Bahasa Kadazandusun, selain memberikan motivasi kepada murid untuk terus mempelajari dan mengamalkan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.
Menurut Dr. Norafida, program seumpama itu wajar diketengahkan dengan lebih meluas di sekolah-sekolah yang menawarkan subjek Bahasa Kadazandusun bagi menyemarakkan penggunaan bahasa tersebut serta memastikan keaslian dan kelangsungannya terus terpelihara.
Puan Doly Rindum, Guru Besar SRK St James Tenghilan, menyatakan harapan agar program Teaching School ini dapat dilaksanakan lagi di SRK St James Tenghilan kerana program itu membantu meningkatkan lagi pengetahuan dan minat murid untuk belajar Bahasa Kadazandusun.
Secara keseluruhannya, Mini Karnival Bahasa Kadazandusun “Tadau Pogiruruumaan” bukan sekadar menjadi ruang untuk memperkenalkan bahasa dan budaya, malah menjadi kemuncak kepada dapatan serta hasil pelaksanaan Teaching School oleh siswa guru Bahasa Kadazandusun.
Program itu membuktikan bahawa pembelajaran bahasa dapat diterjemahkan melalui pengalaman sebenar yang menggabungkan pendidikan, kesusasteraan, teknologi dan seni budaya.
Turut hadir dalam program itu ialah Encik John Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Dr Wilfred Dousip, Dr Rosie Johnny, Puan Rosmahwati Binti Ebbie, pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun, Puan Feridah Binti Ebbie, Ketua Panitia Bahasa Kadazandusun SRK St. James dan Puan Betty Momporok, PK Pentadbiran SRK St. James Tenghilan.
