Parti PERPADUAN sokong perjanjian Petroleum Sabah-Petronas dibahas secara terbuka di DUN

KOTA BELUD:  Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Gundohing Jack Giau, berkata parti itu menzahirkan sokongan terhadap seruan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, agar isu perjanjian petroleum antara Sabah dan PETRONAS diberi perhatian serius serta dibincangkan secara terbuka demi kepentingan rakyat Sabah.

Menurutnya, isu minyak dan gas Sabah bukan sekadar berkaitan hasil petroleum, tetapi turut melibatkan hak Sabah, kedudukan Perlembagaan, autonomi negeri serta masa depan ekonomi generasi akan datang.

“PERPADUAN berpendirian bahawa perkara sebesar ini tidak wajar hanya dibincangkan di peringkat kerajaan atau secara tertutup. 

“Ia perlu dibahaskan secara terbuka di Dewan Undangan Negeri Sabah agar rakyat dapat memahami sejarah, kandungan, implikasi serta kedudukan sebenar perjanjian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jack berkata kerajaan Sabah dan PETRONAS telah menandatangani satu perjanjian petroleum, dan berdasarkan rekod sedia ada, perjanjian tersebut memperuntukkan bayaran tunai sebanyak 5% kepada Sabah, manakala Sabah melepaskan beberapa hak tertentu berkaitan hasil petroleum di bawah kerangka undang-undang berkaitan.

“PERPADUAN berpandangan bahawa selepas hampir lima dekad, rakyat Sabah berhak menilai semula sama ada struktur perjanjian tersebut masih relevan dengan perubahan ekonomi, perundangan dan pentadbiran negara pada hari ini,” katanya.

Jack  berkata kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, menunjukkan bahawa isu itu mempunyai latar sejarah yang wajar diteliti secara objektif dan berasaskan fakta.

“Kita tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, kita mahu meneliti dokumen, fakta dan peruntukan undang-undang secara telus. 

“Rakyat Sabah berhak mengetahui kandungan perjanjian ini, kesannya, serta sama ada ia masih selaras dengan kepentingan negeri pada hari ini,” katanya.

PERPADUAN turut menegaskan bahawa terdapat perbezaan jelas antara Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974) dan Perjanjian PETRONAS–Sabah 1976.

PDA 1974 merupakan undang-undang Persekutuan yang memberi PETRONAS kuasa berkaitan eksplorasi dan eksploitasi petroleum di Malaysia, manakala perjanjian 1976 pula merupakan perjanjian khusus antara PETRONAS dan Kerajaan Sabah yang melibatkan bayaran tunai 5% serta pengaturan hak tertentu berkaitan hasil petroleum, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata PERPADUAN berpandangan bahawa perbahasan isu tersebut tidak wajar disempitkan kepada istilah “royalti 5%” semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan struktur hak petroleum, bayaran tunai, kuasa negeri, hasil berkaitan serta kerangka perundangan yang lebih luas termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa persoalan utama rakyat Sabah ketika ini ialah:

“Adakah perjanjian yang dimeterai hampir 50 tahun lalu masih relevan untuk dijadikan asas pembahagian hasil petroleum Sabah pada masa kini dan masa hadapan?

“Sekiranya perjanjian itu benar-benar memberi manfaat kepada Sabah, ia perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat. 

“Namun jika terdapat kelemahan atau ketidakseimbangan, maka ia wajar dikaji semula secara berani dan berasaskan fakta. Ini bukan semata-mata isu politik, tetapi soal masa depan negeri dan generasi akan datang,” tambah beliau.

Jack berkata PERPADUAN berpandangan bahawa hasil minyak dan gas seharusnya menjadi antara sumber utama untuk memperkukuh pembangunan Sabah, termasuk infrastruktur, bekalan air bersih, pendidikan, kesihatan, pembangunan luar bandar, sektor pertanian serta peluang pekerjaan.

Namun, Sabah masih berdepan cabaran seperti kadar kemiskinan, jurang pembangunan dan kekangan kemudahan asas yang memerlukan perhatian berterusan, katanya.

Beliau berkata PERPADUAN turut menegaskan bahawa isu hak Sabah perlu dilihat dalam kerangka Malaysia Agreement 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC serta dokumen berkaitan pembentukan Malaysia.

Jack berkata rakyat Sabah berhak mempersoalkan keadaan di mana negeri yang kaya dengan sumber petroleum, gas, mineral, hasil hutan, tanah dan sumber marin masih berdepan cabaran pembangunan dan kemiskinan.

“Negara-negara pengeluar petroleum seperti Arab Saudi, Kuwait, Iran dan Qatar telah memanfaatkan sumber alam mereka untuk pembangunan ekonomi. Sabah juga memiliki sumber yang sama. Persoalannya ialah bagaimana hasil tersebut diagihkan dan sejauh mana rakyat Sabah menerima manfaat daripadanya,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa PERPADUAN tidak menentang PETRONAS atau pembangunan industri petroleum, sebaliknya menyokong kerjasama yang lebih adil antara Sabah, Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS demi memastikan manfaat yang seimbang kepada rakyat Sabah.

Oleh itu, Jack berkata PERPADUAN mencadangkan agar Isu Perjanjian Petroleum 1976 dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk perbahasan terbuka.

Begitu juga, katanya dokumen asal berkaitan PDA 1974 dan Perjanjian PETRONAS–Sabah 1976 didedahkan serta diteliti oleh panel pakar undang-undang dan perlembagaan.

Beliau berkata kajian menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap jumlah hasil petroleum dan gas Sabah sejak 1976 hingga kini, dan mengadakan rundingan baharu antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi menilai semula formula pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

Selain itu, Jack berkata semakan menyeluruh terhadap hak Sabah di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk aspek kewangan dan pentadbiran wajar dibuat.

Beliau berkata parti itu turut menyarankan satu jawatankuasa khas dwipartisan ditubuhkan bagi memastikan isu ini ditangani secara konsisten tanpa dipengaruhi kepentingan politik semasa.

Jack menegaskan bahawa PERPADUAN bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk parti politik, NGO, ahli akademik dan masyarakat sivil bagi memastikan isu hak petroleum dan MA63 diselesaikan secara berhemah, berasaskan undang-undang dan fakta.

“Kita mungkin berbeza dari segi politik, tetapi kita tidak seharusnya berbeza dalam mempertahankan hak Sabah. Minyak, tanah, hasil dan masa depan Sabah adalah amanah untuk generasi akan datang,” katanya.

PERPADUAN menyeru semua pemimpin Sabah agar bersatu dan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik

Related Articles

253FansLike

Latest Articles