KIULU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga MANTAP Kiulu telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana di kawasan sekolah pada Khamis.
Program yang bermula 7.30 pagi hingga 1.00 petang itu menghimpunkan warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
Program tersebut, antara lain, bertujuan memperkukuhkan budaya bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih, ceria, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran murid.
Guru Penolong Kanan HEM SK Malangang Baru, Pn. Joen Saimin mewakili Guru Besar berkata, penglibatan komuniti merupakan elemen penting dalam memastikan sekolah sentiasa berada dalam keadaan terbaik serta mampu menyediakan suasana pembelajaran yang selesa kepada murid sekolah.
“Program ini bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan sekolah, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat melalui semangat sukarelawan serta tanggungjawab bersama,” katanya.
Antara aktiviti utama yang telah dilaksanakan ialah mengecat tembok sekolah, baik pulih pagar kawasan rekreasi, serta membersihkan kawasan sekolah termasuk longkang, tandas dan kawasan persekitaran bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan.
Kerjasama erat antara sekolah dan komuniti mampu melahirkan rasa memiliki terhadap institusi pendidikan, sekali gus menyemai nilai perpaduan, tanggungjawab dan semangat muafakat dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi KRT MANTAP Kiulu, En. Taipin Gilos berharap Program Gotong-Royong Perdana itu dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memelihara kebersihan sekolah, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara PIBG, Rukun Tetangga dan komuniti setempat demi kesejahteraan serta kecemerlangan pendidikan di SK Malangang Baru.
