Francaisi J&T Express di Sabah dan Sarawak Mohon Bantuan Chong Chieng Jen Berhubung Sistem Penalti yang Tidak Adil

KUCHING Sekumpulan francaisi J&T Express dari Sabah dan Sarawak telah mendapatkan bantuan Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Chong Chieng Jen, selepas mendakwa mereka telah lama dikenakan pelbagai sistem penalti yang tidak adil dan tidak munasabah oleh pihak francaisor.

Chong telah bertemu dengan kumpulan francaisi tersebut di firma guamannya petang tadi bagi mendengar sendiri rungutan serta kesukaran yang mereka hadapi.

Dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu, Chong berkata francaisi berkenaan menjalankan perkhidmatan penghantaran J&T Express terutamanya di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakan daripada mereka telah dilantik sebagai francaisi pada tahun 2023 atau 2024.

“Francaisi memaklumkan kepada saya bahawa francaisor telah secara unilateral memperkenalkan pelbagai skim penalti yang tidak munasabah dan semakin membebankan dari semasa ke semasa. Akibatnya, komisen yang mereka peroleh daripada penghantaran bungkusan sering kali tidak mencukupi untuk menampung penalti yang dikenakan, sekali gus merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap francaisi.”

Lebih membimbangkan lagi, menurut Chong, semua bayaran penghantaran bagi bungkusan platform dikutip secara terus oleh pihak francaisor, menyebabkan francaisi berada sepenuhnya di bawah kawalan francaisor.

“Francaisor boleh membuat potongan penalti secara terus daripada komisen yang sepatutnya dibayar kepada francaisi tanpa memberikan mereka peluang yang munasabah untuk membantah atau mencabar potongan tersebut.”

Beliau berkata francaisi telah berkali-kali cuba berunding dengan francaisor dan membantah pengenaan penalti secara unilateral itu, namun segala usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Dalam banyak keadaan, francaisor tetap meneruskan pengenaan penalti secara sebelah pihak.

Chong turut mendedahkan bahawa memandangkan francaisor dimiliki sepenuhnya oleh sebuah syarikat asing, francaisi bimbang bahawa sekiranya perkara ini terus berlarutan, mereka mungkin tidak lagi dapat mendapatkan semula komisen dan bayaran yang menjadi hak mereka.

Berasa buntu dan tidak mempunyai saluran lain untuk mendapatkan pembelaan, mereka akhirnya mendapatkan bantuan Chong bagi memperjuangkan keadilan serta hak-hak sah mereka.

Menurut Chong, di bawah Akta Francais 1998, semua urusan francais tertakluk kepada undang-undang, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai kuasa statutori untuk memastikan sesuatu pengaturan francais adalah adil serta melindungi kepentingan francaisi.

“Bagi membantu francaisi mempertahankan hak mereka, saya telah mengemukakan Soalan Lisan Parlimen kepada Menteri berkaitan perkara ini serta menggesa KPDN supaya campur tangan.”

Beliau menegaskan bahawa tindakan francaisor meminda Perjanjian Francais secara unilateral serta mengenakan penalti atas alasan “liquidated damages” secara sebelah pihak adalah tidak adil dan berkemungkinan melanggar peruntukan Akta Francais 1998.

Chong berkata beliau akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan akan melakukan segala yang termampu untuk membantu francaisi mendapatkan keadilan serta hak yang sewajarnya

Related Articles

253FansLike

Latest Articles