TENOM: Masalah sistem perparitan sawah di Kampung Salapong selepas sekian lama tidak pernah diselenggara sebelum ini akhirnya mendapat perhatian apabila kerja-kerja penyelenggaraan dijadual dilaksanakan tahun ini.
Pegawai Khas kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, Mohd. Nizam Ag. Kassim berkata, usaha menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk kampung itu telah dimulakan sejak tahun lalu.
Beliau berkata, keprihatinan Jamawi terhadap masalah rakyat, khususnya melibatkan kemudahan pertanian dan pengairan di kawasan luar bandar, jelas terbukti menerusi tindakan susulan yang diambil bagi menangani isu tersebut.
“Bermula tahun lalu, Datuk Jamawi telah berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Kampung Salapong berkaitan sistem perparitan sawah yang tidak pernah diselenggara sejak sekian lama.
“Alhamdulillah, hasil usaha berterusan serta kerjasama semua pihak, perparitan tersebut kini dimasukkan dalam senarai penyelenggaraan untuk dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Nizam, pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) melalui Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Denesly Justin, Pemaju Mukim, Salikin Sanggau dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Tenom telah turun padang memantau keadaan perparitan berkenaan.
Hadir sama ialah wakil Jurutera Daerah, Penolong Jurutera, Andy Fong Tain Yin serta penduduk kampung, Sudirman Hj Mohd Saidi, Saliman Ali, Mohd dan Ridzuan Awang.
Katanya, hasil pemantauan itu membolehkan keperluan penyelenggaraan dikenal pasti dan dimasukkan dalam perancangan kerja oleh pihak berkaitan.
Beliau berkata, penduduk kampung menyambut baik perkembangan tersebut kerana sistem perparitan yang berfungsi dengan baik amat penting bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Mohd. Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan dan berharap kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan mengikut jadual demi manfaat penduduk Kampung Salapong.
