Lirik Lagu Harus Menjadi Pemangkin Perubahan Minda Dan  Ekonomi Rakyat Selaras Dengan Hala Tuju SMJ – Datuk Dr. Janathan Kandok

KOTA MARUDU: Pengerusi PERKOM, Datuk Dr. Janathan Kandok, menyeru para penggiat seni dan penulis lirik tempatan untuk mengembalikan peranan lagu sebagai instrumen pendidikan yang mampu merangsang pembangunan ekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Dr Janathan berkata demikian ketika merasmikan pertandingan Sugandoi (nyanyian lagu Dusun) sempena Pesta Kaamatan Kg. Soronsob Kota Marudu 2026 

Beliau menekankan bahawa sejak zaman dahulu, lagu rakyat telah menjadi kaedah penyampaian ilmu yang berkesan. Justeru, dalam konteks masyarakat Dusun yang terkenal dengan budaya menyanyi, beliau percaya bahawa pertandingan nyanyian sempena Pesta Kaamatan perlu diangkat melangkaui sekadar hiburan.

“Kuasa pengulangan lirik lagu adalah sangat luar biasa. Sama seperti ayat-ayat suci yang didengar berulang kali, lirik lagu yang bermakna mampu menembusi minda, turun ke hati, seterusnya mempengaruhi sikap dan tindakan rakyat. Kita perlu memanfaatkan pengaruh ini untuk membentuk jiwa masyarakat yang lebih proaktif,” ujar beliau yang juga Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Datuk Dr. Janathan turut mengalu-alukan penghasilan lirik lagu berunsurkan motivasi yang secara khusus mendorong rakyat untuk mengusahakan tanah pertanian.

“Saya menggalakkan penulis lirik tempatan untuk mencipta karya yang mampu membangkitkan semangat rakyat untuk mengusahakan tanaman komersial seperti jagung, padi, dan pisang secara berskala besar. Kita mahu lirik lagu menjadi ‘pembakar semangat’ bagi melahirkan lebih ramai usahawan di Kota Marudu,” tambah beliau.

Menurut beliau yangbjuga mantan Pengarah Kastam Sabah, usaha ini adalah selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digerakkan oleh Kerajaan GRS di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Fokus utamanya adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pengukuhan sektor pertanian, perindustrian, dan pelancongan di peringkat akar umbi.

Beliau yakin bahawa lirik lagu yang berpaksikan nilai-nilai positif dan aspirasi pembangunan mampu menjadi “penggerak spiritual” yang mendorong rakyat untuk bangun membina masa depan yang lebih makmur.

“Apabila rakyat mendengar lagu yang meniupkan semangat untuk berdikari dan berniaga semasa mereka bekerja di ladang atau di pejabat, secara tidak langsung ia akan mengubah landskap ekonomi kita. Mari kita gunakan seni muzik untuk membina sebuah komuniti yang lebih berdaya saing dan berjaya,” tegas beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles