Isu Ketiadaan Bekalan Air Berlarutan di Kawasan Perumahan Trig Hill Perlu Diselesaikan Segera

Isu Ketiadaan Bekalan Air Berlarutan di Kawasan Perumahan Trig Hill Perlu Diselesaikan Segera

SANDAKAN-  Calvin Chong Ket Kiun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Elopura, telah mengadakan lawatan ke kawasan perumahan Trig Hill susulan aduan penduduk yang berdepan masalah ketiadaan bekalan air yang berlarutan sehingga 16 hari berturut-turut.

Menurut penduduk, gangguan bekalan air yang berpanjangan itu telah menjejaskan kehidupan harian mereka secara serius.

Keperluan asas seperti mandi, memasak, mencuci pakaian, membersihkan rumah dan menjaga kebersihan diri menjadi semakin sukar untuk dilaksanakan. 

Penduduk terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dihantar atau mencari sumber alternatif bagi meneruskan kehidupan seharian.

Calvin berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana air merupakan keperluan asas yang tidak boleh dikompromi. 

Lebih mengecewakan, aduan rasmi telah dibuat berkali-kali kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini masalah tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa menanggung kesusahan yang berlarutan akibat kegagalan menyelesaikan masalah kemudahan asas. 

Penduduk berhak mendapat bekalan air yang stabil dan berterusan, selaras dengan keperluan hidup yang sewajarnya.

“Apabila rakyat berdepan dengan penderitaan akibat kekurangan bekalan air, siapa yang akan bercakap bagi pihak mereka? 

“Siapa yang akan memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan asas yang sewajarnya? Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab untuk memastikan suara mereka didengari dan tindakan segera diambil oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Calvin turut mengulas bahawa terdapat pihak yang berpendapat isu-isu seperti itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan imej kawasan atau keyakinan pelabur. 

Namun menurut beliau, pandangan sedemikian adalah tidak tepat.

Beliau menegaskan bahawa kawasan yang benar-benar mampu menarik pelaburan bukanlah kawasan yang menyembunyikan masalah, tetapi kawasan yang berani mengakui kelemahan serta berusaha menyelesaikannya dengan berkesan. Pelabur sentiasa melihat kepada tahap infrastruktur dan kemudahan asas sesebuah kawasan sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Apabila rakyat mempunyai akses kepada bekalan air yang stabil, bekalan elektrik yang terjamin, sistem jalan raya yang baik serta perkhidmatan awam yang cekap, keyakinan pelabur akan datang dengan sendirinya. Kemudahan asas yang berkualiti adalah asas kepada pembangunan ekonomi yang mampan,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa masalah bekalan air yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan keselesaan hidup penduduk, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan awam, kebersihan persekitaran dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.

Sehubungan itu, YCalvin menggesa Jabatan Air Sabah dan semua pihak berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk Trig Hill.

“Rakyat telah bersabar terlalu lama. Selepas 16 hari tanpa bekalan air dan setelah pelbagai aduan rasmi dibuat, penduduk berhak mendapat penyelesaian yang konkrit, bukannya janji yang berulang. Keperluan asas rakyat mesti diberi keutamaan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan masalah ini tidak terus berlarutan,” tegas beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles