SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 2.5 meter dengan anggaran berat 10 kilogram bersama 14 biji telur dalam satu operasi di kawasan kilang, Batu 8, Jalan Lintas Sibuga awal hari ini.
Menurut Kapt (PA) Sulaiman Bin Salama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, pihak APM menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seekor ular berada di kawasan longgokan zink di kawasan itu.
Pasukan APM kemudiannya digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan reptilia tersebut yang bersembunyi di dalam lubang tanah berhampiran kawasan berkenaan.
Operasi penangkapan berjaya dilaksanakan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini.
APM Sandakan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan haiwan liar atau berbisa di kawasan kediaman dan tempat kerja.
