SMJ LANGKAH STRATEGIK BANGUNKAN SABAH, KATA JANATHAN

KOTA MARUDU: Pengerusi PERKOM, Dato’ Dr. Janathan Kandok menyuarakan sokongan penuh
terhadap pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilihat sebagai pemangkin utama dalam melonjakkan kualiti hidup rakyat Sabah secara holistik.

Dr. Janathan berkata demikian sebagai mengulas netizen yang mengatakan bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak berkesan berbandingkan kerajaan terdahulu pimpinan parti pembangkang.

Menurut Dato’ Dr. Janathan, inisiatif SMJ merupakan langkah strategik kerajaan negeri yang bukan sekadar tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, malah menyentuh aspek kebajikan rakyat secara langsung.

“Melalui SMJ, kita melihat kesungguhan kerajaan dalam merapatkan jurang kemiskinan dan
meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui program yang nyata, seperti perumahan mampu milik, bantuan pendidikan, serta latihan kemahiran yang relevan,” ujar beliau.


Beliau menegaskan bahawa keberkesanan SMJ dapat dirasai apabila rakyat mendapat akses kepada peluang pekerjaan baharu hasil daripada kemasukan pelaburan, selain bantuan kebajikan yang sampai ke tangan golongan yang benar-benar memerlukan. “Inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ dan sokongan pendidikan kepada pelajar Sabah menunjukkan bahawa kerajaan negeri meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan tertinggi dalam setiap perancangan pembangunan,” tambah beliau lagi.


Dato’ Dr. Janathan turut menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan agenda SMJ berjalan lancar. Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan pengumuman rasmi daripada pejabat daerah serta agensi kerajaan bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima manfaat yang ditawarkan.


Sebagai pengerusi pertubuhan pembangunan ekonomi Kota Marudu, Dr. Janathan yakin bahawa dengan tadbir urus yang cekap dan pelaksanaan yang
berterusan, hala tuju SMJ akan membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih makmur, sejahtera, dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles