Rundingan tuntutan 40% diteruskan bukti kerajaan GRS peka rakyat

KOTA KINABALU : Pengumuman Perdana Menteri berkait pemberian interim tambahan daripada RM600 juta sebelum ini ke RM1.5 bilion merupakan satu berita baik.

Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, Dato’ Victor P. Paut berkata, pengumuman itu merupakan satu tanda aras di mana tuntutan 40 peratus Sabah mendapat perhatian yang sewajarnya dari Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri akan terus menuntut hak Sabah itu sehingga ianya dilaksanakan sepenuhnya kelak.

“Ia membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri Sabah GRS di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji memilih kepada membuka ruang rundingan dan terus mengekalkan hubungan baik antara kedua belah pihak.

Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 termasuklah tuntutan 40 peratus itu meski ianya bukan semudah yang disangkakan,” katanya.

Menurut Victor, melalui Kerajaan Negeri, Hajiji lebih memilih kepada jalan rundingan bagi mengelakkan sebarang konfrantasi atau menzahirkan sebarang sentimen yang akhirnya tidak membuahkan hasil kepada rakyat Sabah.

“Kerajaan memilih jalan matang dan terus tegas mempertahankan hak namun pada masa yang sama, akan terus menjaga hubungan antara negeri dan Persekutuan.

“Kita sambut pengumuman tadi dengan rasa penuh syukur tetapi perjuangan mendapatkan hak Sabah mesti diteruskan sehingga mencapai penyelesaian yang tuntas.

Rakyat masih menunggu detik penyelesaian 40 peratus itu,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd.

Menurutnya, penambahan interim RM1.5 bilion itu membuktikan bahawa jalan rundingan yang di pilih oleh GRS bukan jalan yang lemah tetapi jalan yang membawa hasil demi rakyat Sabah itu sendiri.

“Sesungguhnya, komitmen ini sudah lama dinantikan dan wajar dihargai oleh seluruh rakyat di Sabah.

Sehubungan itu, adalah amat diharapkan agar komitmen tersebut dapat diterus dimaknai dan disusul dengan tindakan menyemak semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan bersandarkan kepada hak 40%,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles