Oleh: JST
TAMBUNAN: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Masjid sekitar Parlimen Keningau menerima sumbangan 10 ekor lembu korban.
Sumbangan tersebut telah disampaikan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut merangkap Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd, dalam majlis penyerahaan di Pisompuruan Square, Tambunaan, Jumaat lepas.
Daripada jumlah tersebut, lapan ekor sumbangan peribadi Victor, manakala dua ekor lagi disumbangkan oleh Sawit Kinabalu.
Agihan melibatkan DUN Tambunan (Mukim Patau dan Kirokot) empat ekor, DUN Liawan (tiga ekor) dan DUN Bingkor (tiga ekor).
Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam membantu masyarakat menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha.
Ketika ditemui, Victor berkata, inisiatif itu bertujuan untuk membantu umat Islam di kawasan berkenaan melaksanakan ibadah korban diperingkat komuniti, sekali gus mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama sesama mereka.
“Dengan sumbangan ini akan dapat membantu masyarakat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha dengan rasa gembira. Ini yang kita mahu merapatkan uhkuah dan kebersamaan sebab kita semua ini hidup bermasyarakat,” katanya.
Wakil penerima sumbangan berkenaan menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Victor diatas sumbangan tersebut.
“Kami dari DUN Bingkor mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dato’ Victor yang telah sudi menyumbang tiga ekor lembu untuk dikorbankan dan diagihkan dagingnya itu kepada sebanyak mungkin pemerima,” kata Datuk Jasri Nasip Matjakir, wakil penerima daripada DUN Bingkor.
Idan Ariffin, wakil penerima Mukim Patau Tambunan berkata, pihaknya merasa gembira menerima sumbangan lembu berkenaan.
Wakil penerim DUN Liawan, Risam Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Victor di atas sumbangan lembu berkenaan dan semoga ia mendapat berkat.
