80 Menu Sabahan angkat warisan, galak kebun dapur

KOTA KINABALU:  Program 80 Menu Sabahan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 bukan sahaja mengangkat keunikan makanan tradisional negeri ini, malah menjadi platform penting memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif yang digerakkan RTM Sabah itu wajar dipuji kerana membawa impak besar kepada pemeliharaan budaya tempatan.

“Program seperti ini bukan sahaja mengangkat keunikan makanan tradisional Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Jamawi berkata, keistimewaan makanan tradisional Sabah bermula daripada penggunaan sumber asli dan hasil bumi tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Banyak menu tradisional kita menggunakan bahan seperti serai, kunyit, cili, pandan, ulam-ulaman, sayur kampung serta pelbagai herba tempatan yang ditanam sendiri di halaman rumah atau kebun dapur,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan sekadar festival makanan, sebaliknya turut membawa mesej penting mengenai kepentingan Inisiatif Kebun Dapur dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Katanya, amalan berkebun perlu terus digalakkan kerana mampu menyediakan sumber makanan segar dan sihat untuk keluarga selain membantu menjimatkan perbelanjaan harian.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, amalan menanam sendiri bahan asas masakan di rumah adalah satu langkah yang sangat baik dan praktikal,” katanya.

Jamawi berkata, banyak menu tradisional Sabah yang diketengahkan tidak akan lengkap tanpa bahan segar daripada kebun dapur, sekali gus menyerlahkan keunikan makanan warisan yang segar dan dekat dengan alam.

Beliau yakin, sekiranya inisiatif kebun dapur terus diperkasakan khususnya dalam kalangan generasi muda, ia mampu membantu memelihara warisan makanan tradisional serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan pertanian komuniti dan gaya hidup lestari.

Dalam pada itu, beliau berkata, RTM sebagai medium penyiaran utama negara telah memainkan peranan besar dalam menyatukan rakyat melalui maklumat, pendidikan dan hiburan selama lapan dekad.

“Penganjuran program berteraskan budaya dan komuniti seperti ini amat bertepatan dengan semangat Sambutan Hari RTM yang bukan sahaja meraikan sejarah penyiaran negara, tetapi juga mengangkat budaya, warisan dan gaya hidup masyarakat tempatan,” katanya.

Jamawi turut melihat program itu sebagai platform terbaik mempromosikan pelancongan gastronomi Sabah, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Sabah.

“Makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan cerita tentang budaya, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sentiasa menyokong usaha seperti itu dan berharap ia terus diperkasakan.

“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada RTM Sabah di bawah pimpinan Encik Mohd Yusni dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha serta Pesta Menuai kepada semua yang merayakannya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Datuk Haji Ruslan Muharam dan Pengarah RTM Sabah, Yusni Mohamad Ali. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles