AKPS ditangguh demi pelihara autonomi imigresen Sabah

TAWAU: Aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto menyifatkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah sebagai langkah tepat dan wajar demi memastikan hak autonomi imigresen negeri ini terus terpelihara seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 20.

Beliau berkata, Sabah mempunyai kedudukan istimewa dalam aspek imigresen yang tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung kerana ia adalah antara syarat utama pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Kuasa autonomi imigresen Sabah bukan sekadar soal pentadbiran biasa, tetapi ia adalah jaminan perlembagaan dan asas penting yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia melalui MA63 dan Perkara 20.

“Rakyat Sabah amat sensitif terhadap sebarang bentuk pelaksanaan dasar Persekutuan yang dilihat boleh menghakis kuasa negeri, khususnya membabitkan kawalan pintu masuk dan penguatkuasaan imigresen,” katanya ketika diminta mengulas pendirian Kerajaan Negeri Sabah berhubung AKPS.

Menurut beliau, kewujudan percanggahan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dibuat di Sabah.

Katanya, tindakan menangguhkan pelaksanaan AKPS bukan bermaksud Sabah menolak usaha memperkukuh kawalan sempadan negara, sebaliknya memberi ruang kepada penelitian menyeluruh supaya hak negeri tidak terjejas pada masa depan.

“Sabah bukan menolak terus AKPS secara mutlak. Penangguhan ini penting supaya rundingan, penelitian undang-undang dan penambahbaikan mekanisme dapat dilakukan terlebih dahulu.

“Jika terus dilaksanakan tanpa penyelarasan jelas, dikhuatiri akan berlaku pertindihan kuasa, kekeliruan bidang tugas dan secara tidak langsung membuka ruang kepada pengurangan kuasa langsung Kerajaan Negeri dalam urusan imigresen,” katanya.

Mohd. Zaki berkata, pendekatan berhati-hati itu juga penting bagi memastikan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kekal harmoni tanpa menjejaskan semangat Persekutuan Malaysia yang dipersetujui bersama sejak 1963.

Beliau turut berharap kerajaan Persekutuan dapat mengadakan libat urus lebih menyeluruh bersama Kerajaan Negeri Sabah, pakar perundangan, badan masyarakat dan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Sabah sentiasa menyokong aspek keselamatan sempadan dan kedaulatan negara. Namun dalam masa sama, hak autonomi yang dijamin dalam MA63 wajib dihormati dan dipelihara sepenuhnya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles