Pemilihan JKKK DUN Tamparuli Terima Pengiktirafan The Malaysia Book of Records

TAMPARULI: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Tamparuli mencipta sejarah apabila proses Pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR).

Ahli Parlimen Tuaran merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pengiktirafan tersebut diberikan menerusi kategori “Most Villages in a Simultaneous Village Committee Election” atau “Pemilihan Jawatankuasa Kampung Terbanyak Yang Diadakan Secara Serentak”.

“Pemilihan JKKK yang dilaksanakan melibatkan sebanyak 94 buah kampung di lima mukim yang diadakan secara serentak di kawasan DUN N.14 Tamparuli iaitu Mukim Tenghilan, Topokon, Mangkaladoi, Pantai dan Mukim Tamparuli.

“Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh rakyat Tamparuli kerana ia membuktikan bahawa masyarakat luar bandar juga mampu melaksanakan proses pemilihan komuniti secara tersusun, telus dan berintegriti.

“Ia juga mencerminkan komitmen semua pihak termasuk Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM, petugas serta masyarakat kampung yang telah bersama-sama menjayakan proses ini,” katanya.

Madius berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah JKKK Peringkat Kawasan DUN N.14 Tamparuli yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, di sini pada Jumaat.

Sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records “Most Villages in a Simultaneous Village Committee Election”  diberikan oleh Dr. Stanley Tulis Missun kepada Hannevy W. Harry, Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, selaku Pengerusi Pelaksana Proses Pemilihan JKKK kawasan DUN N.14 Tamparuli pada 15 Mac 2026.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Watikah JKKK Tamparuli telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Rubin Balang.

Rubin turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan yang disampaikan Madius kepada wakil JKKK dari setiap mukim di DUN N.14 Tamparuli.

“Kita berterima kasih atas sokongan yang diberikan pihak KPLB sehingga proses pemilihan JKKK dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Pelaksanaan pemilihan secara serentak ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem tadbir urus kampung yang lebih demokratik dan inklusif,” jelas Madius lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut mengumumkan pelaksanaan pertandingan Program Kampung Lestari Peringkat Daerah Kecil Tamparuli yang dilaksanakan bersama rakan strategik Zero Waste Sabah dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Katanya, program itu memberi penekanan terhadap pembangunan komuniti yang lebih lestari menerusi aspek pengukuhan ekonomi kampung, pemeliharaan adat dan budaya, pengurusan sisa, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan komuniti mampan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles