UMS Raih Empat Pingat di IMInE 2.0, Inovasi Pelajar Tarik Perhatian Industri

SHAH ALAM – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus membuktikan keupayaan dalam bidang inovasi dan keusahawanan apabila berjaya meraih empat pingat dalam International Millennipreneur Innovation and Commercialization Exhibition (IMInE) 2.0 baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, empat pingat yang dimenangi merangkumi satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Projek NextGen Biomass berjaya meraih pingat emas, diikuti TMB Studio pingat perak, manakala EduGuard Safety Solutions dan Aether4 masing-masing meraih pingat gangsa.

Projek NextGen Biomass turut dinobatkan sebagai juara kategori Environment and Sustainability serta menerima Anugerah Khas Idea Inovasi Terbaik.

Menurut ketua pasukan NextGen Biomass, Mohamad Nurhaniesufian Handri, inovasi berkenaan mengetengahkan pembangunan papan komposit mesra alam (ECO-OPL Board) berasaskan sisa pelepah kelapa sawit.

“Inovasi ini berpotensi menjadi alternatif kepada bahan kayu konvensional dalam industri perabot, sekali gus menyokong usaha kelestarian dan pengurusan sisa biojisim.

“Kejayaan merangkul kejuaraan ini menjadi penanda aras penting bahawa projek ini berdaya maju dan bukan sekadar inovasi di atas kertas. 

“Ia juga membuktikan penerimaan pasaran terhadap solusi kami dalam mengatasi kelemahan material konvensional seperti isu kayu mereput, serangan anai-anai dan kerosakan akibat kelembapan, sekali gus mengurangkan kebergantungan industri perabot terhadap aktiviti penebangan hutan,” katanya.

Sementara itu wakil TMB Studio UMS, Muhammad Lutfi Hazim Zulkharnane menyifatkan penyertaan dalam program tersebut sebagai platform penting dalam pembangunan bakat pelajar serta industri kreatif. 

“Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mendedahkan diri dalam industri pembangunan permainan, berkongsi idea kreatif serta membina jaringan hubungan profesional dalam bidang game development,” ujarnya.

Untuk rekod, program selama tiga hari yang berakhir pada 14 April 2026 itu menghimpunkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara, sekali gus menyediakan platform kepada usahawan siswa membentangkan idea inovasi, produk serta prototaip kepada wakil industri, agensi dan pelabur bagi tujuan penilaian dan pengkomersialan.

Penyertaan pelajar UMS adalah selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi serta Amanat Naib Canselor 2026 (LENSA 1) yang menekankan pembangunan inkubator pelajar dan syarikat pemula (start-up) berimpak tinggi.

Ia juga mencerminkan komitmen berterusan universiti itu dalam memperkasa ekosistem keusahawanan pelajar serta melahirkan graduan berdaya saing yang mampu mencipta peluang melalui inovasi.

Kesemua peserta UMS yang terlibat merupakan pelajar daripada Fakulti Kewangan Antarabagsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Labuan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

*Penerangan gambar:*

Gambar 1 : Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM, Profesor Madya Dr. Badrul Isa, menyampaikan hadiah kepada Nurhaniesufian yang mewakili NextGen Biomass.

Gambar 2: Pasukan TMB Studio bergambar di reruai pameran semasa IMInE 2.0, mengetengahkan pembangunan permainan video kreatif sebagai antara inovasi pelajar UMS.

Gambar 3: Pasukan Aether4 yang membangunkan sistem dapur pintar “Smart Culina” sebagai inovasi berasaskan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi kulinari.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles