Perpaduan rakyat berbilang kaum aset penting buat Sabah – Matbali

SIPITANG: Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan aset terpenting yang perlu dipelihara, sekali gus memastikan rakyat pelbagai kaum di negeri ini terus hidup dalam keadaan rukun dan aman.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata ini adalah keunikan di Sabah, walaupun  mempunyai lebih 36 kumpulan etnik dan agama, namun ia tidak menghalang perpaduan, sebaliknya menjadi asas kekuatan dan keharmonian.

“Ya, rakyat Sabah boleh meraikan Kaamatan, Tahun Baru Cina, dan Aidilfitri bersama-sama dalam suasana aman dan harmoni. 

“Ini adalah cerminan semangat kebersamaan, perpaduan, dan nilai kekeluargaan, yang memperkukuh keharmonian kaum di negeri ini.

“Marilah bersama berusaha untuk memastikan keharmonian ini kekal pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Matbali berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Kraftangan Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) di sini pada Jumaat.

Turut hadir presiden PKLS Datuk Pengiran Lalung.

Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia memuji barisan pimpinan persatuan itu atas kebijaksanaan, dedikasi, dan visi cemerlang yang telah membawa organisasi mencapai kejayaan gemilang.

Katanya persatuan itu bukan sahaja berjaya mewujudkan Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah tetapi juga menyediakan kemudahan tempat tinggal inap desa.

“Kehebatan organisasi yang ahlinya sentiasa bersatu ini wajar dicontohi oleh persatuan lain untuk mengecapi kejayaan,” katanya.

Sehubungan itu, Matbali mengajak rakyat khususnya di kawasan Parlimen Sipitang supaya terus bersatu padu demi masa depan yang lebih baik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles