Jenayah Siber: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga – Zaki Susanto

TAWAU: Taktik licik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China terbongkar selepas serbuan polis di sebuah resort di sini baru-baru ini sekaligus mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDDS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, kejayaan menumpaskan kegiatan itu wajar dipuji, namun ia juga membuka mata tentang tahap serius jenayah scammer yang semakin berleluasa di daerah berkenaan.

Menurutnya, penahanan kira-kira 80 individu dalam operasi bersepadu itu menunjukkan bahawa kegiatan sindiket penipuan bukan lagi berskala kecil, sebaliknya sudah beroperasi secara tersusun dan sistematik.

“Ini bukan isu terpencil. Ia jelas membuktikan bahawa Tawau kini berdepan ancaman jenayah siber yang sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd. Zaki turut melahirkan kebimbangan terhadap persepsi luar yang mula melabel Tawau sebagai ‘markas scammer’, malah ada pihak yang menggelarkannya sebagai ‘Myanmar’ kedua susulan peningkatan kes penipuan dalam talian.

Katanya, persepsi sedemikian jika tidak ditangani boleh memberi imej negatif kepada daerah itu serta menjejaskan keyakinan pelabur dan sektor pelancongan tempatan.

“Label seperti ini amat membimbangkan. Ia bukan sahaja mencalar reputasi Tawau, malah memberi gambaran seolah-olah daerah ini menjadi pusat operasi sindiket penipuan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan berkenaan, bukan sekadar menahan individu yang terlibat di peringkat bawahan.

Menurutnya, tindakan tegas terhadap ‘otak’ sindiket amat penting bagi memutuskan rantaian jenayah serta memastikan kegiatan sama tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Mohd. Zaki turut mengingatkan golongan belia khususnya di Tawau supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan lumayan yang sebenarnya merupakan taktik merekrut mereka ke dalam sindiket scammer.

“Belia perlu lebih berwaspada dan bijak menilai tawaran kerja. Jangan kerana desakan ekonomi, mereka terjebak dalam jenayah yang akhirnya merosakkan masa depan sendiri,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk keluarga, komuniti dan agensi berkaitan untuk memperkukuh kesedaran serta pencegahan jenayah siber di peringkat akar umbi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles