USBO Gesa Rakyat Bersedia Hadapi Kenaikan Kos Susulan Konflik Timur Tengah

KOTA KINABALU: United Sabah Bumis Organisation (USBO) menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan peperangan di Timur Tengah yang semakin tidak menentu dan berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Setiausaha Agung USBO, Dato Baharul Sawi berkata, konflik berpanjangan di rantau tersebut dijangka mengganggu ekosistem ekonomi dunia, khususnya dalam sektor tenaga yang menjadi nadi kepada banyak industri.

“Ketidaktentuan bekalan serta gangguan terhadap laluan perdagangan utama dijangka menyebabkan harga minyak global meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kos pengangkutan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesan berantai daripada situasi tersebut dijangka menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Baharul menggesa rakyat supaya mula mengamalkan langkah berjimat cermat atau austerity drive bagi mengurangkan beban kewangan.

“Rakyat disaran mengutamakan perbelanjaan keperluan asas, mengurangkan perbelanjaan tidak penting, serta mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berdisiplin,” katanya.

Beliau turut menyarankan penggunaan bahan api secara optimum seperti berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam, selain mengelakkan pembaziran makanan dan menyokong produk tempatan.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan perpaduan dalam menghadapi cabaran global yang tidak menentu ini.

“Kita perlu bersatu padu, saling menyokong dan berganding bahu agar dapat mengharungi situasi ini dengan lebih berdaya tahan,” katanya.

USBO yakin bahawa dengan sikap berhemah dan semangat kebersamaan, rakyat mampu mengatasi cabaran ekonomi yang mendatang demi kesejahteraan bersama.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles