ADUN Elopura turun padang tinjau kebocoran paip bawah tanah di Taman Tyng

SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, Calvin Chong turun padang ke kawasan Taman Tyng bagi meninjau sendiri keadaan terkini berhubung isu kebocoran paip air bawah tanah yang kembali berlaku di kawasan tersebut, sekali gus memberi perhatian serius terhadap kebajikan penduduk yang terjejas.

Isu kebocoran paip ini sebelum ini telahpun dilaporkan dan tindakan pembaikan telah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab. 

Namun demikian, kebocoran yang sama dilaporkan berlaku semula, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat terhadap kestabilan bekalan air serta keberkesanan penyelesaian jangka panjang. 

Sehubungan itu, lawatan susulan ini dilaksanakan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan dapat diselesaikan dengan segera, teliti dan berkualiti bagi mengelakkan kejadian berulang.

Dalam lawatan tersebut, Calvin Chong turut mendapatkan taklimat daripada pihak teknikal serta kontraktor yang terlibat mengenai punca kebocoran berulang, skop kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan, serta langkah-langkah pencegahan yang akan diambil bagi memastikan sistem paip air di kawasan tersebut berada dalam keadaan lebih kukuh dan berdaya tahan.

Beliau menegaskan bahawa isu bekalan air merupakan keperluan asas yang tidak boleh dipandang ringan, dan sebarang gangguan, walaupun bersifat sementara, memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat. 

Oleh itu, tindakan yang lebih menyeluruh dan berfokus perlu diambil termasuk pemantauan berkala, penyelenggaraan sistematik serta penambahbaikan infrastruktur sedia ada bagi memastikan bekalan air kekal stabil dalam jangka masa panjang.

Calvin Chong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Air Sabah (JAS) dan pihak kontraktor atas tindakan proaktif serta komitmen berterusan dalam menangani isu ini. Usaha yang dijalankan bukan sahaja tertumpu kepada pembaikan paip yang rosak, malah turut merangkumi peningkatan tekanan air serta memastikan agihan bekalan air yang lebih konsisten dan menyeluruh kepada setiap isi rumah di kawasan Taman Tyng.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya akan terus memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara rakyat dan agensi kerajaan, dengan memastikan setiap aduan yang diterima diberi perhatian sewajarnya serta disusuli dengan tindakan yang konkrit. Pemantauan berterusan akan dilaksanakan sehingga isu ini benar-benar diselesaikan dan tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Penduduk setempat turut dinasihatkan agar terus menyalurkan maklum balas dan laporan sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan bekalan air, supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.

Calvin Chong kekal komited dalam memperjuangkan keperluan asas rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam berada pada tahap yang memuaskan dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan DUN Elopura.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles