Saringan Tanpa Susulan: Jurang Senyap Kanser Kolorektal di Malaysia

KOTA KINABALU: Mac merupakan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal, di mana institusi kesihatan samada kerajaan atau swasta giat menyampaikan peringatan tentang kepentingan saringan melalui pelbagai saluran media dan di fasiliti kesihatan. 

Namun, di sebalik kempen dan hebahan ini, satu hakikat yang tidak kesampaian dalam sistem kesihatan kita: kesedaran hanyalah langkah permulaan, namun, usaha untuk menterjemahkannya kepada tindakan masih belum kesampaian.

Kanser kolorektal bukanlah penyakit yang jarang berlaku. Ia merupakan kanser kedua paling kerap dan yang terbanyak dalam kalangan lelaki di Malaysia. 

Statistiknya amat membimbangkan. Risiko seumur hidup untuk menghidap kanser di Malaysia adalah satu dalam sepuluh bagi lelaki dan satu dalam sembilan bagi wanita, dengan kanser kolorektal menyumbang sebahagian besar daripada jumlah ini. Penyakit ini merentasi semua kumpulan masyarakat, dengan kadar kejadian tertinggi dalam kalangan kaum Cina, diikuti oleh Melayu dan India. Walaupun risiko ini diketahui, kita masih gagal merapatkan jurang antara ketersediaan saringan yang mampu menyelamatkan nyawa dan tindakan yang diperlukan untuk mencegah kematian.

Kadar Pengambilan Saringan Percuma Sangat Rendah

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), salah satu hakikat penting tentang kanser kolorektal ialah ia boleh dicegah dan dirawat dengan berkesan jika dikesan awal.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan program saringan awal sejak tahun 2014, menawarkan ujian imunokimia darah samar dalam najis (iFOBT) kepada individu berumur 50 hingga 75 tahun yang tidak bergejala. Ujian ini mudah dan tidak invasif, bertujuan mengesan kehadiran darah tersembunyi dalam najis sebagai petanda awal kanser kolorektal. Ia boleh didapati secara meluas di klinik kesihatan kerajaan.

Namun begitu, kadar pengambilannya amat rendah. Berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Kanser Kolorektal 2021–2025, kurang daripada satu peratus individu yang layak menjalani saringan setiap tahun di fasiliti kesihatan kerajaan. 

Kajian keratan rentas di Semenanjung Malaysia yang telah diterbitkan oleh jurnal antarabangsa iaitu Asian Pacific Journal of Cancer Prevention menunjukkan keadaan yang lebih membimbangkan, apabila hanya 0.7peratus responden pernah menjalani sebarang bentuk saringan dalam tempoh lima tahun.

Jurang antara Saringan dan Tindakan Diagnostik

Masalah ini bukan hanya pada tahap saringan awal. Jurang tersebut menjadi lebih besar dalam kalangan mereka yang telah menjalani ujian. Keputusan iFOBT positif perlu disusuli dengan kolonoskopi untuk menentukan sama ada terdapat kanser atau tidak. Namun, data tempatan menunjukkan bahawa pematuhan kepada kolonoskopi selepas keputusan iFOBT positif masih rendah. Antara tahun 2014 hingga 2018, hanya sekitar 52peratus hingga 67peratus pesakit meneruskan pemeriksaan kolonoskopi, manakala sebahagian besar yang lain tidak hadir untuk penilaian lanjut. Persoalannya, mengapa ramai yang tidak mengambil langkah seterusnya walaupun tanda amaran telah dikenal pasti?

Halangan kepada Tindakan: Ketakutan, Stigma dan Kekangan Praktikal

Halangan ini bersifat pelbagai. Daripada sudut psikologi, terdapat rasa jijik terhadap pengendalian sampel najis. Kajian menunjukkan ramai pesakit berasa malu dan tidak selesa kerana menganggap najis sebagai sesuatu yang kotor. Perasaan stigma, malu dan tidak selesa menjadi antara sebab utama mengelakkan saringan.

Selain itu, wujud persepsi negatif terhadap prosedur kolonoskopi yang sering dianggap menyakitkan atau memalukan. Lebih mencabar ialah ketakutan untuk mengetahui diagnosis kanser itu sendiri. Bagi sesetengah individu, kanser masih dianggap sebagai hukuman mati, lalu menyebabkan mereka mengelak daripada mengetahui keadaan sebenar.

Di samping itu, terdapat kekangan sistem kesihatan dan faktor sosioekonomi. Masa menunggu yang panjang, kesukaran pengangkutan terutama bagi warga emas, serta kekangan kewangan menjadi halangan utama. Kajian menunjukkan bahawa majoriti individu yang menjalani saringan berbuat demikian kerana disarankan oleh doktor, manakala ketiadaan nasihat ini menjadi penghalang utama kepada orang ramai.

Kos Kelewatan Sangat Tinggi

Menurut Dr. Devanraj Selvam, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital Shah Alam, lebih 70 peratus pesakit kanser kolorektal di Malaysia mendapat tahu penyakit mereka pada peringkat lewat, iaitu pada tahap 3 atau 4. Pada tahap ini, rawatan menjadi lebih kompleks, invasif dan mahal, dengan kadar kejayaan yang jauh lebih rendah. Untuk makluman,  berdasarkan data kajian Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan), kadar kelangsungan hidup lima tahun bagi pesakit tahap I ialah sekitar 75 peratus. Namun, jika penyakit dikesan pada tahap 4, kadar ini menurun kepada hanya 17 peratus. Risiko kematian bagi pesakit tahap lewat hampir empat kali ganda berbanding mereka yang dikesan awal. 

Merapatkan Jurang: Navigasi Pesakit dan Perubahan Tingkah Laku

Untuk mengatasi jurang ini, usaha kita tidak boleh terhenti pada penyebaran maklumat sahaja. Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan, termasuk intervensi struktur dan perubahan tingkah laku.

Salah satu langkah yang berpotensi besar ialah pelaksanaan Program Navigasi Pesakit. Melalui program ini, seorang navigator akan membantu pesakit dari peringkat saringan hingga ke rawatan lanjut, termasuk memastikan kehadiran ke temujanji dan memberi sokongan emosi serta praktikal. Pendekatan ini telah terbukti berkesan dalam bidang lain seperti kanser payudara.

Selain itu, doktor penjagaan primer, bukan sahaja kerajaan, bahkan di swasta perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mencadangkan saringan kepada pesakit yang layak. Pendekatan ini perlu berubah daripada sekadar menyediakan perkhidmatan kepada usaha proaktif untuk menarik penyertaan.

Seruan untuk Bertindak

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal ini, kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Penyediaan kit saringan sahaja tidak mencukupi. Jurang antara ujian saringan dan kolonoskopi kini menjadi ruang yang penuh dengan peluang yang terlepas.

Kanser bukan lagi satu hukuman mati yang pasti, tetapi mengabaikan tanda amaran boleh membawa akibat yang serius. Sudah tiba masanya kita membuka ruang perbincangan tentang kesihatan usus, mengurangkan stigma, dan membantu masyarakat melalui sistem kesihatan dengan lebih berkesan. Biarlah bulan Mac ini bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi menjadi titik perubahan kepada tindakan yang lebih bermakna di peringkat nasional.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles