Banjir Musnahkan Persiapan Ramadan, Penduduk Tawau Rayu Bantuan

TAWAU: “Peralatan perabot, elektronik serta elektrik rosak akibat banjir hingga persiapan Ramadan kami terjejas,” luah Rasidah Salam dari kawasan Jambatan Tengku Usman, di sini.

Menurutnya, mereka bukan daripada keluarga berada dan terpaksa mengumpul wang dalam tempoh lama untuk membeli kelengkapan rumah.

“Kami bukan orang senang. Untuk beli peralatan ini, kami terpaksa keluarkan belanja besar. Sekarang semuanya rosak sekelip mata,” katanya ketika ditemui menerima bantuan makanan dari Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Bantuan disampaikan Pemangku Timbalan Presiden PHRS, Samsiah Usman.

Hadir sama, Presiden PHRS, Tan Sri Liew Yun Fah.

Beliau berkata, sehingga kini mereka masih bertungkus-lumus membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan sisa banjir bagi memastikan kediaman kembali selamat didiami.

“Tolonglah kami… bersihkan kawasan sungai belakang rumah ini. Kejadian ini betul-betul ujian besar di bulan Ramadan. Beberapa minggu lagi Hari Raya akan tiba, persiapan kami habis terjejas. Dengan siapa lagi kami mahu minta bantuan,” rayunya.

Sementara itu, Tawilok Buhan dari Kampung Rainbow mendakwa kejadian banjir besar yang berlaku kali ini bukan semata-mata berpunca daripada fenomena air pasang, kerana keadaan tersebut lazim berlaku setiap tahun tanpa impak seteruk ini.

“Kejadian banjir ini sangat menghantui semua penduduk kampung. Kami bimbang ia akan berulang jika tiada tindakan segera,” katanya.

Ketua Penduduk Kampung Rainbow, Nuramalina Kasran memaklumkan sekurang-kurangnya 20 rumah terjejas dalam kejadian berkenaan, dengan sebahagian besar melibatkan kerosakan peralatan rumah dan struktur dalaman.

Penduduk berharap pihak berkuasa dapat segera mengambil tindakan termasuk membersihkan sungai serta meneliti punca sebenar banjir bagi mengelakkan tragedi sama berulang, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles