KOTA KINABALU: Pengarah Yayasan Sabah, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar mengajak semua pegawai dan kakitangan bekerja sebagai satu pasukan dan meningkatkan komitmen berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, ia penting bagi mengangkat martabat Yayasan Sabah sebagai institusi kebanggaan rakyat.
Beliau berkata setiap warga Yayasan Sabah perlu berfikir sebagai sebuah entiti dan bergerak dengan satu kekuatan yang utuh.
“Budaya kerja berprestasi tinggi, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, mesti menjadi asas dalam usaha memperkukuh sumber kewangan Kumpulan Yayasan Sabah.
“Anak-anak syarikat bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi jentera penjana yang menjadi sandaran untuk merealisasikan visi dan misi Yayasan Sabah, termasuk ke arah pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Yayasan Sabah, pada hari pertama memulakan tugas sebagai Pengarah Yayasan Sabah bagi penggal kedua, di pejabatnya di Menara Tun Mustapa, di sini semalam.
Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang mula dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada November 2020.
Turut memulakan tugas semalam ialah ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), sayap pelaburan Yayasan Sabah.
Dalam ucapannya, Ghulam turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, di atas kepercayaan melantiknya semula sebagai Pengarah Yayasan Sabah.
Katanya, pelantikan itu adalah amanah besar yang sarat dengan tanggungjawab yang wajib digalas dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan keinsafan.
“Ini kerana Yayasan Sabah bukan institusi biasa, sebaliknya sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) strategik negeri yang memiliki rangkaian anak syarikat yang berperanan besar dalam landskap pembangunan negeri.
“Yayasan Sabah adalah nadi yang mengalirkan harapan rakyat, seiring dengan hala tuju besar Sabah Maju Jaya yang digagaskan oleh Ketua Menteri,” katanya.
Menurutnya, mengemudi organisasi sebesar Yayasan Sabah bukanlah tugas individu, justeru ia memerlukan sokongan semua dan semangat kerja berpasukan.
Selain itu, katanya, ia menuntut kebersamaan, kebertanggungjawaban, kepercayaan dan iltizam kolektif daripada semua pihak.
Ghulam turut menyatakan rasa bersyukur kerana digandingkan dengan Jasnih yang merupakan seorang pemimpin muda yang berwibawa serta tokoh korporat berpengalaman luas.
“Saya yakin dengan gandingan kepimpinan yang mantap serta kerjasama erat semua pihak, kita mampu melonjakkan prestasi organisasi ke tahap yang lebih tinggi.
“Matlamat kita jelas, iaitu untuk memenuhi aspirasi rakyat dan memastikan Yayasan Sabah sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen Yayasan Sabah untuk patuh dan akur dengan saranan Ketua Menteri agar semua GLC menghantar laporan prestasi setiap tiga bulan.
“Marilah kita jadikan komitmen ini sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) organisasi—untuk dipenuhi, dipatuhi dan dilaksanakan tanpa bertangguh,” katanya.
