Sabah sasar tingkat eksport durian premium ke China

PENAMPANG: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyeru rakyat negeri ini supaya meningkatkan penanaman durian premium seperti Musang King, Duri Hitam, IOI serta varieti tempatan unggul bagi memenuhi potensi pasaran eksport, khususnya ke China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, ketika ini Sabah masih kekurangan tanaman durian premium apabila statistik menunjukkan keluasan 5,000 ekar dan 800 ekar pokok yang telah matang dan mengeluarkan hasil.

“Ini menunjukkan kita masih jauh ketinggalan sedangkan permintaan, terutama dari China dan Korea, sangat tinggi terhadap durian premium termasuk varieti tempatan Sabah,” katanya semasa lawatan bersma media ke kebun durian Kampung Timpangoh Laut, Sugud di sini, hari ini.

Jamawi berkata, antara varieti tempatan yang mempunyai potensi besar ialah Kinabalu King, Durian Dalit dan Durian Tenom Beauty yang semakin mendapat sambutan pelancong luar negara.

Menurutnya, Kinabalu King telah dinamakan oleh Persatuan Penanam Durian dan Buah-Buahan Tropika Sabah sejak tiga tahun lalu bagi menjaga kualiti serta jenamanya di pasaran.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan pihak media untuk menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa durian merupakan tanaman berimpak tinggi yang mampu membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan.

Katanya, bermula tahun hadapan, kementeriannya akan memperkasakan Program Kebun Dapur dengan menggalakkan penduduk luar bandar menanam sekurang-kurangnya empat hingga lima pokok durian premium di sekitar rumah masing-masing.

“Hasilnya nanti akan kita kumpulkan di pusat pengumpulan yang telah diwujudkan bersama Korporasi Pembangunan Desa (KPD) sebanyak 10 pusat dan enam lagi oleh Jabatan Pertanian,” jelasnya.

Jamawi berkata, kementerian akan melaksanakan gerakan bersepadu melibatkan semua agensi di bawah MAFFI termasuk sektor perikanan, veterinar dan industri bagi membantu rakyat sementara menunggu durian matang dalam tempoh lima hingga enam tahun.

“Sebagai contoh, mereka boleh menternak ikan tilapia atau ayam pedaging dan ayam telur di belakang rumah bagi menjana pendapatan sementara menunggu hasil durian,” katanya.

Beliau berkata, kawasan tersebut dirancang untuk dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan bagi Penampang dan Kota Kinabalu dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang kerana lokasinya hanya sekitar 45 minit dari bandaraya.

“Kita mahu pelancong dari China dan Korea datang menikmati durian di kebun sambil beriadah di kawasan sungai yang kaya dengan ikan pelian di sini,” katanya.

Jamawi turut memaklumkan bahawa persatuan penanam telah membuka sebuah kilang memproses dan memasarkan durian di Keningau dan usaha itu akan diperluaskan ke Tawau serta Kota Kinabalu, termasuk di kawasan KKIP dengan kerjasama FAMA.

“Saya mahu fokus kepada pembangunan pertanian secara menyeluruh dan memastikan rakyat luar bandar memahami bahawa durian premium berpotensi besar mengubah taraf hidup mereka,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UiTM Sabah dalam aspek pendidikan, kajian serta amalan agronomi, termasuk penggunaan bahan organik dan pertanian lestari bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Turut hadir Pembantu Menteri I dan II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong bersama beberapa Pengurus Besar Agensi Kementerian. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles