KOTA KINABALU: Parti PERPADUAN memandang serius perkembangan terbaharu berhubung Notis Rayuan versi kemudian yang difailkan oleh kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40% Geran Khas Perlembagaan Sabah.
Ketua Wanita PERPADUAN Pusat, Puan Scholastica Taraji berkata tindakan kerajaan Persekutuan memfailkan Notis Rayuan versi terkini yang memperluas skop rayuan berbanding apa yang diumumkan secara terbuka pada 11 November 2025 membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan secara sedar dan sengaja berusaha melengah-lengahkan pelaksanaan hak 40% yang dijamin oleh Perlembagaan.
Tambahan pula, katanya rekod sejarah menunjukkan bahawa pada 29 September 1971 Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan satu “Warta Rahsia” yang bertujuan “memansuhkan secara senyap** hak 40% Geran Khas Sabah — **tanpa pernah dibawa, dibahas atau diluluskan di Parlimen**, seperti mana yang dibongkar oleh Ahli Parlimen Sepangar, Datuk Aziz Jaman”.
Tindakan itu, katanya, bertentangan dengan prinsip demokrasi dan telah menafikan hak Sabah secara sistematik selama puluhan tahun.
“Penambahan baharu untuk mencabar jadual masa 90 hari dan rangka 180 hari yang ditetapkan Mahkamah Tinggi menunjukkan keengganan Kerajaan Persekutuan untuk mematuhi garis masa yang jelas, telus dan mengikat di sisi undang-undang.
“Ia bukan sahaja menafikan semangat Perjanjian Malaysia 1963, tetapi mencerminkan corak penangguhan hak Sabah yang telah berlaku hampir lima dekad.
“PERPADUAN Menyokong Penuh Tindakan SLS Menuntut Hak 40% PERPADUAN dan berdiri teguh menyokong tindakan Sabah Law Society (SLS) dalam menuntut hak 40% yang merupakan hak perlembagaan, bukan ihsan politik.
“Keberanian dan ketegasan SLS membawa isu ini ke Mahkamah sehingga menghasilkan dapatan penting berkaitan Tempoh Hilang (Lost Years) sangat dihargai. Tanpa SLS, isu ini mungkin terus disembunyikan tanpa solusi yang adil kepada rakyat Sabah,” katanya.
Scholastica berkata PERPADUAN menegaskan bahawa perjuangan SLS adalah untuk memastikan Kerajaan Persekutuan menghormati peruntukan Perlembagaan.
