TAMBUNAN: Lebih 1,800 program telah dilaksanakan di daerah itu sejak Dato’ Victor P Paut diberi amanah menerajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Tambunan.
Peramah dan mudah didekati, Victor turut memberi sumbangan yang telah memberi manfaat kepada rakyat Tambunan dari pelbagai lapisan, termasuk gereja, komuniti, belia, persatuan, hingga mereka yang memerlukan bantuan kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
“Tambunan sentiasa dekat di hati saya. Saya membuat satu keputusan penting dalam hidup untuk meletakkan Tambunan sebagai keutamaan saya.
“Bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang dapat disentuh, dilihat dan dirasai oleh rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Victor berkata beliau boleh memilih untuk hidup selesa, melancong ke luar negara, atau menikmati masa tanpa beban tetapi “saya memilih untuk berkhidmat dengan rakyat Tambunan.
“Saya memilih untuk turun padang, mendengar keluhan, menyelesaikan masalah, dan memastikan setiap kampung mendapat perhatian yang sepatutnya,” katanya.
Victor berkata sudah tiba masanya rakyat Tambunan sama-sama membina, membantu, memperbaiki dan menyatukan komuniti di sini.
“Jika kita mahu Tambunan bergerak ke depan, kepimpinan mesti berteraskan kerja, bukti dan kesungguhan bukan sekadar slogan.
“Saya berdiri di sini bukan untuk meminta simpati, tetapi untuk menawarkan kesinambungan perjuangan yang telah kita mulakan bersama,” katanya.
Oleh itu, VIctor merayu rakyat Tambunan supaya mengundi calon GRS dalam pilihan raya negeri Sabtu ini demi masa depan yang lebih cerah.
