SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) komited melaksanakan pembangunan mampan di Karamunting melalui pendekatan menyeluruh yang memberi keutamaan kepada penyelesaian isu infrastruktur asas sebelum melaksanakan agenda pembangunan jangka panjang.
Calon BN bagi kerusi DUN Karamunting, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, beliau akan membentuk pasukan khas bagi menangani tiga isu kritikal – bekalan air, elektrik dan jalanraya – sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
“Kita perlu menyelesaikan masalah asas seperti air, elektrik dan jalanraya terlebih dahulu sebelum melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang untuk Karamunting,” katanya ketika berucap dalam satu majlis di sini.
Chin yang merupakan anak jati kawasan itu menekankan, pendekatan berperingkat ini penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Beliau merangka tiga teras pembangunan untuk Karamunting:
Pertama, memajukan pelancongan di Pasir Putih dengan menaiktaraf pesisiran pantai, mewujudkan jeti dan tempat tumpuan rekreasi yang mampu menarik lebih ramai pelancong.
Kedua, mendorong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui perkhidmatan perundingan dan latihan keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.
Ketiga, melaksanakan program pembangunan belia yang komprehensif merangkumi pembinaan kemudahan sukan, penubuhan kaunter one-stop bantuan keusahawanan belia, serta latihan kemahiran dan digital.
Chin menegaskan, BN mempunyai rekod terbukti dalam melaksanakan pembangunan mampan melalui kepimpinan yang mantap dan pendekatan dasar yang konsisten.
“Kepimpinan BN menjamin kesinambungan dalam pelaksanaan dasar dan program pembangunan untuk kawasan ini,” katanya.
Beliau mengingatkan pengundi bahawa undi mereka bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju pembangunan Karamunting untuk generasi akan datang.
Chin mengakhiri dengan menggesa pengundi Karamunting memberi peluang kepada BN untuk membawa transformasi yang lebih bermakna kepada kawasan tersebut.
