SANDAKAN: Timbalan Presiden Parti KDM, Datuk Wetrom Bahanda, hari ini menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama komuniti Cina Sandakan bersama tiga calon PKDM, iaitu Datuk Frankie Poon (N.56 Tanjong Papat), Liau Fui Fui (N.55 Elopura), dan Datuk Chew Ket Woh (N.54 Karamunting).
Majlis tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti Cina, dengan kesemua 22 meja penuh, mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan dan hala tuju PKDM.
Dalam sesi tersebut, para calon berinteraksi secara dekat dengan para pemimpin dan wakil komuniti, membincangkan isu pembangunan Sandakan, ekonomi setempat, pendidikan serta masa depan golongan muda. Mereka turut mendengar pandangan, cadangan dan keperluan masyarakat.
Wetrom menegaskan bahawa masa depan Sabah memerlukan kepimpinan tempatan yang benar-benar memahami realiti rakyat dan bebas daripada tekanan politik luar. PKDM komited untuk terus memperjuangkan prinsip “Sabah First” dan “Rakyat Didahulukan”.
Para calon turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan komuniti Cina yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan budaya di Sandakan.
PKDM berikrar untuk meneruskan kerjasama rapat demi mewujudkan Sabah yang lebih stabil dan makmur.
