KOTA KINABALU: Gelombang politik di DUN Darau terus memuncak apabila 417 ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar parti secara beramai-ramai, menyertai Parti Warisan Sabah.
Ini merupakan langkah yang disifatkan penyandang DUN Darau, Azhar Matussin, sebagai “isyarat jelas rakyat berdiri teguh di belakangnya” menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
Majlis berkenaan diketuai bekas Timbalan Ketua PBS Darau, Sofri Wahid @ Bobby, disertai bekas Ketua Kampung Kalansanan, bersama barisan AJK pemuda dan wanita dari Kg Kalansanan, Taman Bakti Ikhlas, Kg Warisan dan Inanam Laut.
Perpindahan seramai ratusan ahli itu mencetuskan tanda tanya besar terhadap kekuatan PBS di kawasan tersebut, terutama apabila ia berlaku hanya beberapa hari sebelum rakyat Sabah keluar mengundi.
Azhar ketika ditemui menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti perubahan besar sokongan di peringkat akar umbi.
“Ini satu khabar gembira. Ia antara isyarat paling jelas bahawa rakyat di DUN Darau memberi sokongan padu kepada saya,” katanya.
Beliau berkata, gelombang sokongan itu menambah keyakinan jentera untuk menggandakan gerak kerja sehingga ke saat akhir.
Langkah keluar parti dalam jumlah besar itu turut dilihat pemerhati politik sebagai petanda bahawa persaingan di Darau mungkin berubah secara drastik pada saat-saat akhir kempen.
