KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi N.11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020–2035) yang sedang dilaksanakan ketika ini akan terus menjadi manifesto beliau di Kadamaian.
Presiden UPKO itu berkata, pelan berkenaan dirangka selepas beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian pada tahun 2018, dengan mengambil kira keperluan menyeluruh 74 kampung di kawasan tersebut.
“Kesemua calon di Kadamaian ada manifesto sendiri. Saya sahaja tiada manifesto baharu kerana manifesto saya ialah Pelan Induk Pembangunan Kadamaian yang telah, sedang dan akan diteruskan pelaksanaannya.
“Sebahagian daripada pelan ini sudah siap, ada yang sedang berjalan dan ada juga yang akan dilaksanakan. Saya akan meneruskan apa yang saya mulakan sejak 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di kawasan Kadamaian, di sini, kelmarin.
Beliau menambah perbezaannya ialah sama ada pengundi memilih wakil rakyat yang mampu menjadi “pilot” atau “pemandu arah” dalam kerajaan negeri Sabah.
“Sebagai presiden parti, kita mesti menjadi pemandu arah kepada pembangunan Sabah secara keseluruhannya,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan projek pembangunan, Ewon berkata pelbagai inisiatif telah dijalankan merangkumi pembinaan infrastruktur, kemudahan rakyat, bantuan pendidikan, keagamaan dan sokongan komuniti.
“Antara projek infrastruktur utama ialah pembinaan Jambatan Konkrit Sungai Kadamaian di Kg. Kaung Ulu bernilai RM13.7 juta yang dimulakan pada Ogos 2024 dan dijangka siap pada Januari 2026.
“Selain itu penaiktarafan Jalan Tengkurus–Lahanas sepanjang 12.4 kilometer bernilai RM61.4 juta, Jalan Sayap–Mansulit sepanjang 16.8 kilometer bernilai RM129 juta, Jalan Podos–Taginambur bernilai RM31 juta dan penaiktarafan Jambatan Panataran di Kg. Melangkap melibatkan kos RM9 juta,” katanya.
Ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara dan antara inisiatif baharu kementerian untuk Sabah ialah penaiktarafan atau pembinaan kemudahan tamu-tamu tradisi atau gerai.
“Di kawasan Kadamaian saja sebanyak 22 premis Tamu Desa dibina baharu dan dinaiktaraf bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Dari segi, pembangunan kecil-kecilan, banyak projek telah dilaksanakan melibatkan 74 kampung, termasuk penyelenggaraan balai raya, menaik taraf culvert dan gabion, pembinaan parit serta penyelenggaraan jalan kampung dan jalan pertanian, pembinaan sistem tadahan air graviti dan penyelenggaraan bangunan gerai.
Di samping itu, katanya program bantuan sosial dan pendidikan turut diberikan melalui Sentuhan Kasih melibatkan bantuan kelahiran, takziah dan pesakit kronik, serta sumbangan kepada tadika, sekolah rendah dan menengah.
Sumbangan keagamaan juga turut disalurkan kepada gereja dan surau, manakala kelab, persatuan dan badan keagamaan menerima peruntukan bagi aktiviti komuniti seperti gotong-royong, sambutan perayaan dan sukaneka.
Ewon menegaskan keseluruhan inisiatif tersebut membuktikan komitmennya untuk terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah rakyat Kadamaian.
“Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035 adalah hala tuju yang jelas, telah mula dilaksanakan dan akan diteruskan. Saya akan memastikan kesinambungan ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat Kadamaian,” katanya.
